Buletin

TIADA RANCANGAN LAKSANA PENDAFTARAN, LESEN BASIKAL – MENTERI PENGANGKUTAN

Kementerian Pengangkutan (MOT) tiada perancangan melaksanakan pendaftaran dan pelesenan setiap basikal di negara ini serta diletakkan nombor plat sepertimana kenderaan bermotor. 

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan di peringkat kementerian, malah cadangan itu juga tidak pernah dibangkitkan kepada beliau.

“Banyak lagi faktor perlu diteliti dan dipertimbangkan oleh MOT bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki.

Setakat ini, sebarang komen yang dibuat oleh MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) sebagaimana yang dilaporkan media tidak menjadi dasar sehinggalah melalui pelbagai proses seterusnya mendapat kelulusan menteri,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebook beliau.

Wee berkata agensi-agensi di bawah MOT perlu membuat kajian menyeluruh atau cadangan untuk analisis dan pertimbangan pengurusan kanan MOT termasuk Pejabat Menteri sebelum proses dimulakan bagi melaksanakan apa-apa dasar di bawah bidang kuasa MOT, dan semua pengumuman polisi pramatang adalah dilarang tanpa persetujuan Menteri.

 “Dari segi keselamatan penunggang basikal, MOT melalui JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) terus mempromosikan program advokasi keselamatan dengan penggemar sukan berbasikal dan persatuan-persatuan yang berkaitan secara berterusan, begitu juga dengan semua pengguna jalan raya lain.

“Program berkaitan keselamatan ini juga akan dibincangkan dan dikemas kini semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Jalan Raya yang akan diadakan pada bulan ini,” katanya.

Beliau juga menasihati semua penunggang atau penggemar sukan berbasikal supaya mengutamakan keselamatan dan mematuhi peraturan jalan raya seperti peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

Google ads
Back to top button