
TIDAK PUAS HATI KOMPONEN MOTOSIKAL DITUKAR. PEMILIK BENGKEL MAUT DITIKAM
Seorang pemilik bengkel motosikal maut akibat ditikam dengan senjata tajam oleh seorang lelaki dalam kejadian pada kira-kira pukul 2 petang, di Titi Serong, Parit Buntar, Perak semalam.
Mangsa yang berusia 43 tahun ditikam oleh seorang suspek lelaki di bengkelnya. Mangsa telah dibawa oleh orang awam untuk dirawat di Hospital Parit Buntar sebelum meninggal dunia.
Sebelum ditikam, mangsa didatangi seorang lelaki berusia 50-an yang turut meninggalkan motosikalnya di lokasi kejadian sejurus menikam mangsa.
Ketika kejadian isteri mangsa dikatakan berada di pekan Parit Buntar membeli barang, manakala anak mangsa yang merupakan seorang pelajar sekolah menengah, sedang makan tengah hari di bahagian belakang dalam bengkel tersebut.
Sumber polis memaklumkan bahawa suspek kejadian sudah menyerah diri di Balai Polis Simpang Lima, kira-kira jam 2.45 petang. Suspek, 52, yang bekerja sebagai peniaga, datang sendiri ke balai polis dan mengaku menikam seorang lelaki di bengkel motosikal di Titi Serong, Tanjung Piandang.
Berdasarkan siasatan awal, punca suspek berbuat demikian kerana tidak puas hati dan menuduh mangsa menukar beberapa kompenan motosikal miliknya tiga minggu lalu.
Mangsa dikatakan mengusahakan bengkel motosikal di premis itu lebih 20 tahun. – Utusan Online

