Buletin

TIGER WOODS BERNASIB BAIK MASIH HIDUP SELEPAS KEMALANGAN – POLIS

Bintang golf, Tiger Woods dikejarkan ke hospital di Los Angeles selepas mengalami beberapa kecederaan akibat terlibat dalam kemalangan pada Selasa.

Seorang anggota polis Los Angeles mengakui pemain golf itu “sangat bernasib baik” selamat selepas kemalangan berkenaan.

Carlos Gonzales, anggota pertama yang bertindak balas ke tempat kejadian menambah, dia dalam keadaan tenang walaupun terperangkap di dalam kenderaan.

Katanya lagi, Woods telah dikeluarkan dari kenderaan oleh pihak Bomba dan kenderaan mengalami kerosakan teruk.

Menurut laporan Reuters, Woods, 45 tahun, berseorangan dalam kereta sport utility vehicle (SUV) yang dinaikinya, dalam nahas kira-kira pukul 7.12 pagi itu.

Memetik Jabatan Sherif Los Angeles, anggota penyelamat dilaporkan terpaksa menggunakan alat ‘jaws of life’ untuk mengeluarkan Woods yang terperangkap di dalam kenderaannya.

“Woods terbabit dalam satu kemalangan kereta pagi ini di California di mana dia mengalami beberapa kecederaan di kaki.

“Beliau kini melalui pembedahan dan kami ucapkan terima kasih atas privasi dan sokongan anda,” kata ejennya, Daniel Rapaport, dalam satu kenyataan.

Kejadian berlaku berhampiran komuniti pinggir bandar Rolling Hills Estates dan Rancho Palos Verdes.

Imej video di tempat kejadian menunjukkan SUV milik Woods dalam keadaan terbalik di sisi, sekitar 30 kaki dari jalan raya, dengan bahagian depannya rosak teruk dan dikelilingi serpihan.

Terdahulu pada hujung minggu itu, Woods menganjurkan acara tahunan Genesis Invitational di Riviera Country Club.

Beliau bagaimanapun tidak bertanding dalam kejohanan itu, menyatakan masalah bahagian belakang yang dialaminya sejak sekian lama. – agensi

Google ads
Back to top button