Artikel Pilihan

TIPS MEMANDU UJI KERETA DI PUSAT JUALAN YANG POWER. ALA-ALA THE STICK

Ok, cerita dia macam ni. Anda dah senarai pendek beberapa buah kereta baru yang menarik perhatian anda untuk dipandu uji. Ya lah, kereta yang ada sekarang dah mula meragam sikit-sikit dan anda malas nak keluarkan belanja yang besar untuk pembaikan.

Kadang-kadang beli baru terus lagi baik, cuma bertambahlah hutang selama 5, 7 atau 9 tahun. Jadi kami senaraikan beberapa tips pandu uji yang power supaya anda nampak professional di mata Perunding Jualan.

1. Buat temu janji terlebih dahulu, ya memang la akan ada Perunding Jualan yang sentiasa bertugas di pusat jualan tapi adalah lebih baik membuat temu janji dulu. Bukan apa, kalau main terjah waktu orang ramai risau tak boleh masuk ke dalam presmis disebabkan kawalan COVID-19

2. Tetapkan objektif pembelian, jangan beli ikut suka hati sekadar memuaskan hati jiran tetangga. Mungkin kriteria anda ialah ruang kargo yang besar, jumlah penumpang melebihi 5, penjimatan bahan bakar yang luar biasa, kuasa enjin sekitar 200 kuasa kuda dan pengendalian yang mantap. Dah ada kriteria baru pergi pandu uji.

Contohnya kalau anda sedang mencari MPV 7 tempat duduk, rasa pelik pulak kalau anda pandu uji kereta sport 2 tempat duduk dengan 2 pintu kan

3. Tahu dan jangan lebih bajet bulanan anda. Bila sampai di pusat jualan, minta tolong Perunding Jualan mengira berapakah bayaran bulanan kereta baru anda berdasarkan bayaran muka 10% dan pembiayaan selama 5, 7 atau 9 tahun. Kalau tak mampu keluarkan 10% bermakna anda kena pertimbangkan balik pembelian.

Paling cun sekiranya bulanan kereta anda sekitar 10% sahaja daripada gaji dan tak lebih daripada 20%. Jap nanti ada orang komen, takkan gaji RM 7000 pakai Honda City low spec? Ini saranan tuan puan, kalau rasa nak habiskan gaji RM 7000 itu terus dengan bayar kereta semuanya pun boleh.

Tapi jangan bila nak tukar tayar telefon mak ayah ye atau asyik mengeluh bila harga petrol naik tiap tiap minggu.

4. Ambil tahu dan buat kajian mengenai ownership cost atau kos pemilikan. Cuba cari di laman web berkenaan kos servis, kos tukar tayar, kos cukai jalan, insurance, dan penggunaan petrol kereta yang anda cari. Ingat mampu bayar bulanan belum pasti anda mampu membela kereta ini dengan selesa

5. Bila pandu uji, cuba rasa perangai dan rasa pemanduan kereta tersebut. Adakah pecutan, brek, pengendalian semasa selekoh, keselesaan ketika melalui jalan tak rata serta bunyi bising sesuai tak dengan anda. Kalau rasa sesuai OK lah, kalau rasa tak sesuai KIV dulu dan pandu uji model lain pula

6. Cuba bawa sekali ahli keluarga anda yang lain untuk dapatkan input pengguna yang berlaianan umur dan jantina. Bawa isteri anda (jangan tanya abam kalau ada lebih dari 1), anak-anak dan juga ibu bapa kita sekiranya mereka biasa menumpang kereta kita

Sebab mereka anda beri input berkenaan keselesaan kusyen belakang adakah sesuai untuk warga emas dan kanak-kanak, adakah penyaman udara masih sejuk di barisan ke 3, adakah bunyi bising yang masuk dalam kabin boleh diterima dan boleh juga anda cuba memasang kerusi bayi ISOFIX pada kereta baru.

7. Kalau dah berkenan dan ciri pemanduan kereta tersebut ngam dengan kita, kenal pasti kelemahan kereta tersebut. Bukan untuk menjadi pendekar papan kunci yang berteriak “baik beli baik beli” tapi untuk kita menerima kelemahan rekaan tersebut.

8. Kena ingat, laluan pandu uji hanyalah sekitar 5-10km sahaja dari pusat jualan. Jadi mungkin pengalaman pemanduan anda rasa sedikit terhad. Kalau Perunding Jualan atau ada kawan-kawan menggunakan kereta yang sama, cuba pinjam kereta mereka untuk pandu uji

Tapi jangan la pinjam kosong, paling kurang isi semula petrol kereta mereka sampai penuh. Itu lebih baik daripada anda terbeli kereta yang tak ngam dengan anda.

9. Sediakan siap siap wang tunai atau pindahan wang atas talian untuk membayar tempahan kereta. Ingat bayar terus pada akaun syarikat pengedar, bukan akaun peribadi Perunding Jualan. Kang terbayar ke akaun peribadi, haa awal dia sambut raya aidilfitri. Ada ke kes macam ni? Ada berlaku depan mata.

10. Sediakan semua dokumen yang diperlukan atau simpan dokumen dalam telefon dengan fail PDF. Senang nak pass semua dokumen termasuk salinan ic dan lesen. Kalau beli menggunakan pembiayaan bank, sediakan slip gaji 3 bulan dan penyata bank gaji 3 bulan.

Kalau berniaga sendiri? Ha korang tanya la Perunding Jualan tue, mereka lagi pakar. Oh, jangan lupa bayar pinjaman PTPTN ye, risau kandas tengah jalan.

Google ads
Back to top button