
WRC 2022 – KALLE ROVANPERA MUNCUL JUARA DI SAAT AKHIR CROATIA RALLY
Pemandu muda untuk pasukan Toyota Gazoo Racing, Kalle Rovanpera berjaya mencatatkan kemenangan luar biasa pada kilometer terakhir sekali gus muncul juara untuk perlumbaan Croatia Rally 2022. Kalle Rovanpera berjaya mengenepikan saingan terdekat, Ott Tanak yang ketinggalan 4.3 saat sahaja di tempat kedua.
Pemandu dari Finland itu ternyata unggul pada perlumbaan yang berlangsung di Kota Zagreb dengan berjaya mendahului saingan semenjak hari pertama perlumbaan lagi bersama jentera Toyota GR Yaris Rally1. Di awal perlumbaan, Kalle Rovanpera berjaya menjarakkan masa sehingga ke 90 saat di hadapan Ott Tanak sebelum beliau mengalami masalah tayar pancit pada hari kedua perlumbaan. Dengan kejayaan ini, Kalle Rovanpera berjaya menjarakkan lagi pungutan mata pendahului kedudukan pelumba kepada 29 mata walaupun perlumbaan baru hanya memasuki pusingan ketiga setakat ini.

Sementara itu Ott Tanak akur di podium kedua walaupun terpaksa mempertaruhkan nasib apabila memilih tetapan tayar Pirelli yang lebih lembut untuk cuba mengejar Kalle Rovanpera sewaktu perlumbaan yang menjadikan aspal sebagai permukaan utama yang perlu ditempuh.
Pelumba dari Estonia itu berjaya meninggalkan rakan sepasukan Thierry Neuville yang berada di tempat ketiga dengan perbezaan masa 2 minit 16.7 saat. Dengan keputusan ini, berjaya memberikan sedikit tonik kejayaan buat beliau yang seakan sedikit tenggelam sejak akhir akhir ini bersama pasukan Hyundai Shell Mobis.

Thierry Neuville pasti boleh menarik nafas lega apabila berada di podium ketiga sekali gus memastikan beliau masih meraih mata berharga bagi mengejar pungutan mata. Apa tah lagi jentera Hyundai i20 N Rally1 beliau mengalami masalah alternator dan terpaksa menolak jentera ke pusat servis sehingga jarak 800 meter bersama Juruarah Martin Wydaeghe.
Bukan itu sahaja, malah mereka turut dikenakan penalti masa 1 minit serta denda $1900 kerana memecut melebihi had kelajuaan 156 kph di kawasan 80 kph sehingga hampir menyebabkan Craig Breen yang berada di kedudukan keempat memintas mereka. Dan akibat daripada kesalahan tersebut, Thierry Neuvilel dan Martin Wydaeghe dikenakan hukuman oleh FIA untuk melakukan kerja khidmat masyarakat selama dua hari dalam tempoh 12 bulan mendatang.
Sementara itu, Elfyn Evans berjaya mencatakan kedudukan di tempat kelima dan paling penting berjaya mencatat pungutan mata yang pertama untuk musim ini bersama jentera Toyota GR Yaris Rally1.
Kedudukan Pungutan Mata Pemandu
- Kalle Rovanpera – 76 mata
- Thierry Neuville – 47 mata
- Craig Breen – 30 mata
Kedudukan Pungutan Mata Pengeluar
- Toyota Gazoo Racing – 126 mata
- Hyundai Shell Mobis – 84 mata
- M-Sport Ford WRT – 80 mata
BACA : WRC 2022 – KALLE ROVANPERA MUNCUL JUARA BERSALJI
BACA : WRC 2022 – SEBASTIAN LOEB MUNCUL JUARA PEMBUKAAN DI MONTE-CARLO








