Artikel Pilihan

TOYOTA AKAN GUNAKAN TOYOTA SAFETY SENSE GENERASI KEDUA PADA MODEL-MODEL KELUARAN 2018

Teknologi keselamatan Toyota ataupun Toyota Safety Sense telah dimajukan lagi seiring dengan peredaran waktu dan zaman. Kini generasi kedua Toyota Safety Sense (TSS) adalah semakin canggih dan boleh diharapkan ketika kecemasan.

Teknologi terbaru itu telahpun disiapkan dan akan mula dilengkapkan pada model-model Toyota menjelang tahun 2018. Ia akan membuatkan kenderaan keluaran Toyota adalah lebih selamat dan mampu mengelakkan kecelakaan sewaktu memandu di jalan raya.

Sistem ini dikatakan menggunakan kamera dan radar dengan sensor yang mempunyai ketepatan sehingga ke skala milimeter. Malah ia juga telah ditingkatkan lagi dengan medan pengesan bahaya yang diperluaskan dan fungsi-fungsi baru. Peranti yang digunakan juga dikatakan lebih mudah dipasang.

Beberapa ciri yang digabungkan dalam TSS ialah Pre-Collision System (PCS), Lane Tracing Assist (LTA), Lane Departure Alert (LDA) dan Road Sign Assist (RSA).

Sistem PCS kini bukan hanya mengesan pejalan kaki tetapi juga penunggang motosikal dan juga basikal. Jika bahaya dikesan, isyarat amaran akan disampaikan kepada pemandu untuk peringatan dan brek kecemasan juga mungkin akan dikenakan jika kelajuan berada dalam lingkungan 10-80 km/j.

BACA: TOYOTA CENTURY 2018 – GAYA SELESA DAN MEWAH

LTA pula akan menjaga haluan kereta jika pemandu terleka, bahkan kini ia mampu beroperasi dengan baik walaupun jalan tersebut tidak mempunyai tanda garisan. Jika itu belum cukup canggih, sistem RDA pula akan mengesan tanda-tanda jalan seperti halaju maksima, tanda berhenti, dilarang masuk dan dilarang memotong dan memberikan info tersebut ke dalam sistem pemanduan. Dengan kata lain payah betul nak langgar undang-undang jalan raya dengan adanya sistem ini.

TSS yang telah diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2015 telah digunakan oleh lebih 5 juta unit kereta yang terjual di sekitar Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat. Aplikasi canggih ini juga dikatakan telah mengurangkan kemalangan sehingga 50 peratus khususnya melibatkan perlanggaran dari arah belakang.

Google ads
Back to top button