Artikel Pilihan

APA YANG ANDA NAK TAHU TENTANG TOYOTA ALTEZZA?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan sama-sama mengupas tentang perihal sebuah jentera daripada negara matahari terbit. Jentera ini dinamakan sebagai Lexus IS untuk pasaran Eropah (EDM) dan juga dikenali sebagai Toyota Altezza bagi pasaran Jepun (JDM).

Di Malaysia, semestinya nama Altezza lebih kerap kedengaran berbanding dengan Lexus IS. Bukan itu sahaja, terdapat hierarki di dalam keluarga Altezza yang dikenali sebagai Altezza RS200.

Apa semua ini ? Kita sama-sama selusuri sejarahnya.

Jentera ini lahir pada tahun 1998 dengan kod XE10. Jentera ini merupakan model Lexus IS generasi pertama. Jentera ini bukan jentera biasa-biasa kerana ia dibina khusus untuk melawan jentera-jentera buatan eropah. Antaranya :-

BMW 3 Series E46
Mercedes Benz C-Class W202
Alfa Romeo 156
Audi A4 B5
Lancia Lybra
Ford Mondeo

Untuk pengetahuan anda, kenapa di Jepun ia dikenali sebagai Toyota Altezza? hal ini kerana Lexus hanya memasuki pasaran Jepun pada tahun 2006. Kenapa? Kerana jenama Lexus itu sendiri memang dibuat untuk segmen premium dan memang dibuat untuk pasaran luar Jepun.

Projek pembangunan jentera ini bermula pada tahun 1994 dengan kod 038T. Projek ini diketuai oleh Nobuaki Katayama. Siapa beliau ini ? Beliau (bukan YB Beliau) merupakan Ketua Jurutera Toyota yang bertanggungjawab dalam pembangunan model-model ikonik Toyota dan Lexus. Antara projek beliau adalah :-

Toyota AE86
Lexus SC400
Lexus SC300
Toyota Supra JZA80

Hebat bukan ?

Jepun tetap Jepun. Jentera ini pertama kali dipasarkan pada tahun 1998 di Jepun dan hanya khusus dijual di Toyota Netz Store. Maknanya bukan semua pengedar dapat menjual jentera ini. Pada tahun 1999 barulah model ini dipasarkan di luar Jepun dengan nama Lexus IS.

Sampai disini sudah jelas sedikit sebanyak tentang sejarah kelahiran jentera ini. Sekarang, saya akan cerita khusus tentang varian-varian Toyota Altezza. Antara varian Toyota Altezza adalah seperti berikut :-

Altezza AS200 (Sedan)
Altezza Gita AS200 (Wagon)
Altezza RS200 (Sedan)
Altezza Gita AS300 (Wagon)

ALTEZZA AS200 (SEDAN)

Varian ini mempunyai kod cesi GXE10. Jentera ini dikuasakan oleh enjin berkod 1G-FE. Enjin ini mempunyai sesaran sebanyak 1,998cc dan mempunyai 6 silinder. Enjin ini juga dilengkapi dengan sistem VVTi dan seterusnya mampu menghamburkan kuasa sebanyak 153hp dan daya kilas sebanyak 195Nm pada 4,600rpm.

Kuasa seterusnya disalurkan ke kotak gear. Bagi varian AS200 ini, terdapat 2 pilihan sistem transmisi iaitu Manual 6-kelajuan dan Automatik 4-kelajuan. Model adalah seperti berikut :-

Manual 6-kelajuan – J160
Automatik 4-kelajuan – A47DE

Bagi sistem transmisi manual, nisbah gear adalah seperti berikut :-
Gear 1 – 3.874
Gear 2 – 2.175
Gear 3 – 1.484
Gear 4 – 1.223
Gear 5 – 1
Gear 6 – 0.869
Gear Gostan – 3.672
Final Drive – 3.909

Bagi sistem transmisi automatik pula, nisbah gear adalah seperti berikut :-
Gear 1 – 2.826
Gear 2 – 1.493
Gear 3 – 1
Gear 4 – 0.73
Gear Gostan – 2.703
Final Drive – 4.1

Sistem pacuan jentera ini adalah pacuan toda belakang atau lebih dikenali sebagai tarik belakang dan dalam bahasa inggerisnya Rear Wheel Drive.

Tuan-Tuan, mungkin spesifikasi ini tidaklah mengagumkan Tuan-Tuan sekalian. Namun jika difikirkan kembali, pada tahun 1998 sebuah jentera yang mempunyai kuasa sebanyak 153hp dan daya kilas sekuat 195Nm, ditambah pula dengan kotak gear 6-kelajuan pacuan roda belakang. Memang power sebenarnya.

Harus diingat yang varian AS200 ini merupakan varian paling asas dalam keluarga Altezza. Sebagai perbandingan, model BMW E46 varian asas 316i hanya dikuasakan oleh enjin M43B19 4 silinder yang mempunyai kuasa sebanyak 103hp dan daya kilas sekuat 165Nm.

Apa ? Tak adil ? 6 api vs 6 api ? Okay.

BMW E46 320i tahun 1998 dikuasakan oleh enjin M52TUB20 6 silinder yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 148hp dan daya kilas sekuat 190Nm.

Nampak yang Altezza mendahului pesaingnya dari segi kuasa enjin.

ALTEZZA GITA AS200 (WAGON)

Secara asasnya varian ini mempunyai kuasa yang sama dengan varian AS200. Perbezaan ketara yang dapat dilihat ialah dari segi cesinya yang lebih panjang.

Selain itu, varian ini juga menerima sistem pacuan 4 roda (4WD). Ia dapat dikenali dengan kod cesi seperti berikut :-

RWD – GXE10W
4WD – GXE15W

Kotak gear yang diterima oleh varian 4WD ini juga berlainan dimana ia menerima kotak gear automatik 4-kelajuan berkod A340H.

Lebih istimewa, varian 4WD (GXE15W) ini hanya untuk pasaran Jepun. Tiada pasaran selain Jepun yang menerima varian ini.

ALTEZZA RS200 (SEDAN)

Inilah dia varian yang sentiasa disebut-sebut dan menjadi dambaan saya, anda serta mereka-mereka di luar sana yang minat dengan Altezza. Tak perlu cakap banyak, enjin 3S-GE 4 silinder ini telah menempa nama dan cukup masyur di serata dunia.

Jentera ini menggunakan enjin 3S-GE generasi ke-5. Enjin ini juga lebih dikenali dengan nama “Black Top BEAMS Engine”.

Lebih istimewa, enjin 3S-GE generasi ke-5 ini hanya didapati di ruangan enjin Toyota Altezza RS200 sahaja. Tiada jentera lain yang menggunakan enjin ini selain Altezza. Jika anda ada nampak jentera lain menggunakan enjin berkod 3S-GE, bermakna enjin yang digunakan itu adalah dari generasi pertama sehingga keempat.

Kuasa ? Semestinya lebih ! 207hp pada 7,600rpm dan daya kilas sebanyak 216Nm pada 6,400rpm. Cukup kuat dah ni. 1998 tu. Jangan bandingkan dengan Honda Civic FD2R yang lahir pada tahun 2006. Lagipun Honda pacuan roda depan (FWD). Altezza pacuan roda belakang (RWD).

Untuk pengetahuan juga, jentera ini juga menerima anugerah “Japan Car Of The Year Award Special Edition”. Bukan biasa-biasa.

Pada tahun 2002, pihak Toyota melancarkan model Facelift merangkumi beberapa varian. Varian adalah seperti berikut :-

Limited
Limited Navi Package

Penambahbaikan yang dilakukan adalah dari segi penampilan luaran serta kemasan dalaman yang lebih “sporty look”. Sistem Torsen LSD pula datang dengan pilihan.

Setahun selepas itu, pihak Toyota mengumumkan sedikit penambahbaikan pada model Altezza keluaran tahun 2003 keatas. Antaranya adalah paparan meter berwarna silver yang lebih menonjol. Unit roda stering, tuil brek dan tuil gear juga diperkemas dengan kemasan kulit.

Sistem Transmisi ? Untuk transmisi manual sama dengan model AS200 iaitu 6-kelajuan manual berkod J160. Untuk transmisi automatik, ia menggunakan kotak gear 5 kelajuan automatik Super ECT berkod A650E. Nisbah gear adalah seperti berikut :-

Gear 1 – 3.357
Gear 2 – 2.180
Gear 3 – 1.424
Gear 4 – 1.000
Gear 5 – 0.753
Gear Gostan – 3.431

Oh ya, bagi model automatik, komponen dalaman enjin yang digunakan mempunyai sedikit kelainan dan kuasa yang dihamburkan juga sedikit kurang iaitu 197hp pada 7,000rpm & daya kilas sekuat 216Nm pada 4,800rpm.

ALTEZZA GITA AS300 (WAGON)

Varian Gita AS300 ini dilancarkan pada Julai 2000. 2 tahun selepas pelancaran model asas Altezza. Jentera ini menerima cesi dan juga kod cesi yang berlainan. Kod cesi adalah seperti berikut :-

RWD – JCE10W
4WD – JCE15W

Ye Tuan Tuan, varian ini didatangkan dengan dua pilihan iaitu pacuan roda belakang(RWD) dan juga pacuan 4 roda(4WD).

Jentera ini dikuasakan oleh enjin bersesaran 2,997cc (3.0L) 6-silinder berkod 2JZ-GE. Enjin yang digunakan ini merupakan enjin 2JZ-GE generasi pertama tanpa VVTi. Kuasa yang dapat dihamburkan ialah 217hp pada 5,800rpm dan daya kilas sebanyak 295Nm pada 3,800rpm.

Kuasa yang dihamburkan kemudian dihantar ke kotak gear automatik 4-kelajuan automatik (A340H) bagi varian 4WD dan kotak gear 5-kelajuan automatik Super ECT (A650E) bagi varian RWD

Di sini, dapat disimpulkan yang hanya model wagon sahaja mempunyai varian 4WD dan varian ini hanya dikeluarkan di Jepun sahaja. Selain itu, varian Altezza RS200 juga hanya dikeluarkan di Jepun sahaja. Tiada negara luar yang dapat model ini ketika pelancarannya.

Baiklah, sekarang jika anda tanya saya, varian Altezza manakah yang best ?

Semestinya Altezza RS200 manual. Jika anda berniat membeli model ini, pastikan nombor cesinya bermula dengan SXE10. Bukan GXE10. Selain itu, pilihlah model yang masih mengekalkan enjin asalnya iaitu 3S-GE BEAMS.

Bukan apa, jentera ini sudah direka dengan baik dari segi kuasa, pengendalian serta nisbah berat yang sesuai. Jika anda memilih model yang sudah di”convert”, anda tidak akan dapat merasai nikmat sebenar memandu jentera ini.

Lagi satu, seperti yang saya tulis diatas, kuasa serta komponen enjin 3S-GE BEAMS versi manual serta automatik adalah berbeza. Jadi jangan percaya jika ada yang cerita enjin BEAMS manual dan auto itu sama.

Dari segi harga pasaran, carian di Mudah.my serta Carlist.my menunjukkan yang jentera ini dijual sekitar harga RM25,000 sehingga RM55,800. Agak munasabah dan semestinya secara tunai.

Keunikan Altezza ini adalah rekaan lampu belakangnya yang ikonik dan sentiasa membuatkan saya dibuai mimpi. Minat terhadap tekaan adalah subjektif, mungkin ada yang tak minat. Tapi saya minat. Haha.

Walaupun secara keseluruhannya nampak biasa-biasa, namun percayalah jentera ini bukan biasa-biasa. Jentera ini boleh juga dikategorikan sebagai “Sleeper”.

Akhir sekali, janganlah letak lambang Lexus pada jentera ini. Tidak dinafikan Lexus merupakan jenama mewah bagi Toyota. Namun perkara ini dikecualikan untuk model Altezza dimana nama Altezza itu sendiri menduduki hierarki yang lebih tinggi daripada Lexus IS.

Harap perkongsian kali ini membantu Tuan-Tuan untuk membuat pilihan yang bijak serta sesuai dengan keperluan Tuan-Tuan.

Google ads
Back to top button