
TOYOTA CATAT KEUNTUNGAN OPERASI RM38.6 BILION PADA Q1 2021
Toyota Motor Corp mengumumkan keuntungan operasi suku pertama yang lebih tinggi daripada jangkaan apabila berjaya mencatat 997.49 bilion yen (RM38.6 bilion).
Perkembangan positif itu berikutan lonjakan jualan di pasaran Amerika Utara dan China yang mencapai tahap seperti sebelum pandemik bermula. Kejayaannya menangani masalah kekurangan bekalan chip lebih baik berbanding pengeluar kenderaan lain turut menjadi penyumbang utama.
Keuntungan operasi pengeluar kereta terbesar di Jepun untuk tiga bulan berakhir pada 30 Jun itu adalah lebih tinggi berbanding anggaran awal iaitu 752 bilion yen, berasaskan kepada 10 analisis oleh Renitiv.
Toyota mengekalkan jangkaan keuntungan operasi sepanjang tahun iaitu 2.5 trilion yen bagi tahun kewangan fiskal sehingga Mei 2022, biarpun menjangka kenaikan kos bahan mentah dan cabaran-cabaran lain.
Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, Toyota berjaya menjual 5 juta unit kenderaan, naik 32.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan naik 4.5 peratus daripada tahun 2019. Highlander dan trak-trak kecil lain, serta sedan Camry mendapat sambutan hangat di Amerika. Sementara di China, jualan model Corolla dan Lexus terus mencatatkan kenaikan.
Program vaksinasi yang pantas di Amerika dan kejayaan China mengekang penularan wabak COVID-19 nyata membantu meningkatkan permintaan terhadap kenderaan baharu keluaran Toyota.