HIDROGEN BOLEH JADI ALTERNATIF YANG MENARIK UNTUK INDIA – MARUTI SUZUKI
“Penggunaan kuasa hidrogen bagi tujuan mobiliti dilihat sebagai satu alternatif yang menarik buat India kerana ia boleh mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan mentah lithium,” kata Pengerusi Maruti Suzuki, R.C. Bhargava.
Permintaan terhadap lithium melonjak berikutan banyak kerajaan di seluruh dunia menggesa pengeluar kenderaan supaya mematuhi piawaian emisi karbon yang semakin ketat, pada masa sama menghentikan produksi kereta dengan enjin pembakaran dalaman secara perlahan-lahan.
Di India, peralihan kepada kereta elektrik (EV) dilihat perlahan berikutan kos bateri yang tinggi dan kekurangan infrastruktur pengecasan. India juga tidak mempunyai simpanan lithium yang majoritinya dikawal oleh China.
Keadaan tersebut membuatkan EV sukar dijual di negara seperti India yang pendapatan perkapita rakyatnya hanya sekitar AS$2,000 (RM8,400) atau kira-kira lima peratus di Eropah dan Jepun di mana 95 peratus kereta dijual pada harga bawah AS$20,000 (RM84,000).
“Kami perlu mengenal pasti strategi untuk terus bergerak ke hadapan. Sasaran emisi sifar juga perlu konsisten dengan kondisi ekonomi dan infrastruktur di negara ini,” kata Bhargava.
Bagi mengurangkan penggunaan bahan api dan emisi, Maruti kini mengutamakan jualan kereta yang menggunakan gas asli termampat (CNG), selain melabur ke dalam teknologi hibrid. Penggunaan hidrogen juga dilihat sebagai satu alternatif yang menarik.
Suzuki Motor Corp yang mengawal Maruti kini giat membangunkan teknologi bersih yang sesuai untuk pasaran India.
Kenyataan daripada Bhargava itu timbul selepas EV semakin mendapat perhatian di India dengan Tesla cuba melobi kerajaan supaya mengurangkan duti import ke atas EV. Permintaan Tesla itu mencetuskan perdebatan dalam industri automotif apabila Hyundai Motor Co. turut menyokong pengurangan cukai ke atas kereta import. – Reuters