Buletin

INI UNIT TERAKHIR MITSUBISHI LANCER EVO FINAL EDITION DI KANADA, HARGA RM498K

Penamatan jualan model Mitsubishi Lancer Evolution pada tahun 2016 sememangnya satu berita yang menyedihkan buat para peminat di seluruh dunia. 

Bagi memperingati peristiwa itu, Mitsubishi menghasilkan model Final Edition dalam jumlah terhad. Baru-baru ini, sebuah pengedar Mitsubishi di Ontario, Kanada ingin menjual jentera terakhir berkenaan pada harga $147,899 CAD (RM498,000). 

Sebagai perbandingan, Final Edition dijual pada harga AS$76,400 (RM322,500) di Amerika Syarikat.  

Hanya mencatat perbatuan 99km, ia merupakan salah satu daripada 350 model Final Edition yang dijual di Kanada. Untuk makluman, Mitsubishi cuma menghasilkan 3,100 unit Final Edition di seluruh dunia. 

Apa yang lebih istimewa ialah jentera itu ialah Lancer Evolution terakhir yang dihasilkan. Ini kerana platnya tertera nombor 350. Seperti yang boleh dilihat, kereta tersebut berada dalam keadaan begitu baik kerana disimpan dalam blik berhawa panas ketika musim sejuk. 

Sedan berwarna putih itu hadir dengan bumbung hitam, lencana Final Edition di bahagian belakang dan set rim BBS. Tidak ketinggalan pastinya spoiler belakang, corong kemasukan udara lebih besar dan brek Brembo dengan angkup berwarna merah. 

Ruang kabin tidak diusik dan dibiarkan standard. Apa yang berbeza hanyalah jahitan benang merah pada tempat duduk dan plak yang ditempa dengan nombor siri. Nombor 350 itu membuktikannya ia memang model terakhir untuk pasaran Kanada. 

Final Edition dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo empat silinder sebaris, sama seperti yang ada pada Evo GSR. Cuma kuasanya ditingkatkan sedikit menjadi 303hp dan tork 414Nm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke empat-empat roda menerusi kotak gear manual lima kelajuan.  

GALERI

Google ads
Back to top button