Buletin

TOYOTA COROLLA 2019. CBU THAILAND. 2 VARIAN, BERMULA RM129K

UMW Toyota Motor hari ini melancarkan Toyota Corolla serba baharu secara rasmi ke pasaran Malaysia.

Sedan yang sudah memasuki generasi ke-12 itu merupakan model kereta terlaris sepanjang zaman dengan lebih 46 juta unit dihasilkan sejak diproduksi buat pertama kalinya pada tahun 1966.

Model Corolla yang pertama memberi sumbangan penting terhadap perkembangan pengangkutan di Jepun. Ia juga menjadi kereta pertama yang dipasang di Malaysia pada tahun 1968.

Sehingga kini, lebih 150,000 unit telah terjual di sini. Dengan tawaran produk yang ekonomi serta tahan lasak pada harga yang berpatutan, Corolla nyata membantu mengukuhkan jenama Toyota sebagai jenama yang dipercayai di Malaysia.

Seperti generasi-generasi sebelum ini, Corolla 2019 memenuhi perubahan keperluan seperti yang diinginkan oleh pengguna. Ia kini dibangunkan dengan konsep “Prestige and Advanced” untuk membawanya ke satu era baru dan mampu menepati jangkaan tinggi dari pengguna.

UMW Toyota Motor mensasarkan Corolla untuk menarik minat pelanggan baru yang berhasrat untuk menaik taraf kenderaan mereka kepada yang lebih bergaya.

2 Varian, CBU Thailand

Untuk pasaran Malaysia, dua varian ditawarkan; Corolla 1.8G dan Corolla 1.8E, kedua-duanya dengan transmisi automatik. Model berkenaan merupakan versi pemasangan CBU dari Thailand.

Varian 1.8G dijual pada harga atas jalan RM136,888 manakala 1.8E pula berharga RM128,888 (tidak termasuk insurans untuk pendaftaran persendirian di Semenanjung Malaysia).

Kedua-dua varian Corolla menggunakan enjin 1.8-liter 2ZR-FE empat-silinder DOHC 16-injap dengan Dual VVT-i.

Menjanjikan keseimbangan yang baik antara prestasi dan kecekapan, enjin itu mampu menghasilkan kuasa mencecah 139PS pada 6,400rpm dan tork puncak 172Nm pada 4,000rpm.

Corolla mengekalkan sistem transmisi, CVT 7-kelajuan Sequential Shiftmatic yang digunakan sebelum ini. Namun, telah menerima penambaikan untuk memberikan pemanduan yang responsif, lancar, senyap dan menjimatkan bahan api.

Pemandu ditawarkan dengan mode sport dan paddle shifter untuk menikmati pemanduan lebih mengujakan.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu kelabu metalik, putih mutiara, perak metalik, merah dan hitam.

Sentuhan rekaan terbaru pada Corolla Serba Baru ini mengikut tema dinamik yang diperkenalkan pada model-model Toyota sebelum ini.

Sebagai contoh, lampu utama dengan lampu nyalaan siang LED ditempatkan disepanjang jalur kemasan krom, membuatkan kereta ini mempunyai aliran rekaan dinamik serta nampak lebar pada bahagian depan seperti yang dapat dilihat pada varian 1.8G.

Ruang kabin Corolla tampil bersama rekaan lebih kemas dan premium. Papan pemuka dihuni oleh skrin paparan sentuh bersaiz 6.8 inci yang mudah dioperasi.

Pemandu pula dihidang dengan paparan multi-info (MID) berwarna bersaiz 7-inci yang boleh diubah menjadi digital atay analog.

Ciri lain yang turut disertakan ialah monitor pemandangan panoramik dengan imej 3D, cermin pandang belakang elektrokromatik, pengecas telefom [intar tanpa wayar dan pelindung cahaya matahari pada cermin belakang.  

Toyota Safety Sense

Aspek keselamatan Corolla dipertingkatkan lagi menerusi sistem Toyota Safety Sense (TSS). TSS terdiri daripada lima sistem canggih iaitu sistem pra-rerlanggaran (PCS), amaran penukaran lorong (LDA), bantuan stereng dan bantuan pengesanan lorong (LTA), kawalan melayar radar dinamik (DRCC) semua kelajuan serta lampu tinggi automatik (AHB).

Kedua-dua varian Corolla didatangkan dengan tujuh beg udara SRS dan semua tempat duduk dilengkapi dengan tali keledar tiga-poin ELR.

Lain-lain sistem keselamatan standard termasuklah kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman, sistem brek anti-kunci (ABS), kawalan bantuan mula mendaki (HAC) dan sistem tinjauan tekanan tayar. Tambahan bagi 1.8G, ia dilengkapi ciri tambahan brek parkir elektrik serta Brake Hold.

UMW Toyota Motor juga menawarkan ciri pilihan sistem telematik kenderaan (VTS). Ia menampilkan pengesanan lokasi kenderaan melalui GPS/GSM pada setiap masa. Sekiranya kenderaan dicuri, maka mudah untuk pihak polis menjejakinya.

Sistem itu mampu meninjau dan merekodkan kelajuan kenderaan serta lain-lain input yang dilalui oleh kenderaan. Data tersebut akan dihantar melalui emel kepada pengguna tertentu melalui aplikasi mudah alih.

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button