Buletin

TOYOTA COROLLA SEDAN BAHARU – REKAAN MENARIK, BAKAL DIJUAL DI LEBIH 150 BUAH NEGARA

Toyota Motors hari ini melengkapkan tawaran model Corolla apabila memperkenalkan sedan tersebut pada acara Guangzhou International Auto Show 2018.

Harus tahu bahawa Corolla merupakan model paling laris Toyota dengan lebih 46 juta unit berjaya dijual di seluruh dunia sejak generasi pertama diperkenalkan di Jepun pada tahun 1966.

Sebelum ini, Toyota telah pun melancarkan hatchback dan Corolla Touring Sports. Seperti dijangka, Corolla sedan generasi ke-12 itu banyak berkongsi komponen mekanikal dan gayaan Corolla hatchback.

Sedia maklum, model ini diberi nama berbeza bergantung kepada pasaran. Di China, ia dikenali sebagai Levin dan di pasaran Malaysia sedan itu diberi nama Corolla Altis.

“Kami berusaha keras untuk mereka bentuk kereta baharu yang menarik perhatian dan seronok dipandu. Menerusi Corolla baharu ini, saya yakin bahawa pelanggan akan melihat cara Toyota menghasilkan kereta telah berubah secara signifikan,” kata Ketua Jurutera Toyota Corolla, Yoshiki Konishi.

Shooting Robust

Sebagaimana yang anda boleh lihat, sedan kompak itu tampil dengan reka bentuk agresif bersama garis-garis tajam.

Konsep rekaan dikenali sebagai Shooting Robust itu dapat dilihat dengan jelas pada bahagian hadapan, bersama titik gravity lebih rendah dan siluet yang sporty. Manakala rekaan belakang nampaknya agak konservatif.

Ruang kabin pula mengetengahkan konsep rekaan Sensuous Minimalism yang cukup kemas. Ia diserlahkan menerusi paparan multi-informasi TFT bersaiz 4.2 inci untuk pemandu.

Bahagian tengah papan pemuka dipasang dengan skrin sentuh multimedia beresolusi tinggi bersaiz lapan inci. Semua paparan itu bagaimanapun bergantung kepada varian yang dipilih.

Pengguna di Amerika akan menerima sistem audio JBL dengan sembilan unit pembesar suara. Tidak ketinggalan ialah ciri seperti Apple CarPlay dan perkhidmatan suara berasaskan awan Amazon Alexa dan ketersambungan wifi. 

Pilihan enjin

Tawaran enjin pada Corolla sedan bergantung kepada pasaran yang dimasukinya. Model untuk Amerika Utara akan menggunakan enjin 1.8 liter empat selinder sebaris berkuasa 139hp yang dipadankan dengan kotak gear CVT.

Varian SE dan XSE pula akan menerima enjin empat selinder 2.0 liter baharu Dynamic Force Engine berkuasa 169hp dan tork 210Nm bersama pilihan transmisi CVT atau manual enam kelajuan.

Versi hibrid yang dilengkapi rangkaian kuasa hibrid terkini juga akan ditawarkan nanti. Tidak ketinggalan, sedan itu hadir bersama ciri keselamatan Toyota Active Sense. Corolla sedan yang dibina di atas platform GA-C menjanjikan kualiti pemanduan yang lebih mantap, selesa, senyap dan selamat.

Toyota memasang sistem suspensi jenis multi-link pada roda belakang berbanding torsion beam pada model sebelumnya. Manakala roda hadapan menggunakan topang MacPherson untuk menawarkan pemanduan yang lebih dinamik.

Corolla sedan dijangka dijual di padan Amerika Syarikat dan Eropah mulai tahun depan. Ia juga akan berada di lebih 150 buah negara selepas separuh kedua 2019. 

GALERI

Google ads
Back to top button