
TOYOTA CROWN SIGNIA SUV HIBRID DIPERKENALKAN DI A.S. – JANA 243HP, HARGA MASIH RAHSIA
Toyota baru-baru ini memperluaskan lagi rangkaian modelnya di pasaran A.S. dengan melancarkan model Crown Signia SUV.
Salah satu daripada empat model Crown baharu dan yang kedua di Amerika Syarikat, Crown Signia memberikan pelanggan Toyota kenderaan lebih praktikal serta berkelas.
Crown Signia dibina menggunakan platform Toyota New Global Architecture K (TNGA-K), sama seperti versi sedan.

Platform berkenaan menawarkan pemanduan yang selesa seperti sebuah sedan dan versatiliti sebuah SUV.
Platfrom itu juga menjanjikan pengalaman pemanduan lebih senyap menerusi penggunaan bahan penebat pada tingkap, papan pemuka serta penutup enjin.
Menjengah dalam kabin, ia dimuatkan dengan kluster instrumen digital dan skrin sentuh berukuran 12.3 inci selain, menerima kemasan gangsa pada papan pemuka, konsol tengah serta stereng.

Bergantung pada varian, model ini juga didatangkan dengan bumbung kaca panoramik, pemanas/penyejuk tempat duduk, sistem audio JBL dan cermin pandang belakang digital.
Warna tersedia untuk Crown Signia adalah seperti berikut:
- Black
- Bronze Age
- Finish Line Red
- Storm Cloud
- Oxygen White
Semua model Crown Signia akan menerima enjin empat silinder hibrid 2.5 liter dan dipadankan bersama dua motor elektrik, menghasilkan gabungan 243hp.
Kuasa ini disalurkan kepada keempat-empat roda melalui e-CVT Toyota, di mana ia direka untuk mengurangkan penggunaan bahan api.
Mempunyai lima mod pemanduan; Normal, Eco, Sport, Eco dan EV. Mod EV membolehkan kenderaan dipandu menggunakan kuasa elektrik untuk jarak dekat, tetapi tiada anggaran julat diberikan.
Mod Sport pula meningkatkan tindak balas pendikit, manakala Eco mengutamakan pemanduan yang menjimatkan.
Untuk harga, tiada pendedahan dibuat setakat ini dan Crown Signia yang dipasang di kilang Toyota Tsutsumi di Aichi, Jepun ini akan mula memasuki pasaran A.S. pada pertengahan tahun hadapan.
GALERI:



