
TOYOTA DAN SUBARU BAKAL BANGUNKAN MODEL EV BAHARU, PRODUKSI BERMULA TAHUN 2026
Toyota dan Subaru tidak hanya berhenti dengan model elektrik bZ4X dan Solterra kerana kedua-dua pembuat kenderaan Jepun ini sedang membangunkan model EV baharu.
Menurut laporan dari Nikkei Asia, kedua-dua syarikat itu merancang untuk melancarkan satu lagi SUV tanpa enjin pembakaran dalaman, dengan pengeluaran dijangka bermula pada Januari 2026.
Berbeza dengan bZ4X dan Solterra yang dihasilkan di kilang Toyota di Aichi, model baharu ini dijangka akan dipasang di kilang Subaru di Yajima.
EV ini tidak akan dibangunkan sepenuhnya dari awal, sebaliknya akan menggunakan beberapa komponen dari SUV elektrik sedia ada untuk mempercepatkan proses pembangunan serta mengurangkan kos.

Tambah laporan berkenaan, sasaran pengeluaran bulanan adalah antara 15,000 hingga 20,000 unit.
Model EV baharu ini akan disasarkan kepada pasaran Amerika Utara, Eropah, dan Jepun, namun ia mungkin dijual di pasaran lain juga.
Dari segi prestasi jualan semasa, Toyota telah menjual 13,577 unit bZ4X sehingga September di Amerika Syarikat, manakala Solterra dari Subaru mencatatkan 9,137 unit.
Untuk perbandingan, Hyundai Ioniq 5 terjual sebanyak 30,318 unit, Kia EV6 pula mencatatkan 15,985 unit, dan Honda Prologue terjual sebanyak 14,179 unit dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Awal tahun ini, Toyota dan Subaru mengumumkan bahawa mereka bakal bekerjasama untuk membangunkan tiga model EV tambahan selain daripada bZ4X dan Solterra.
Sama seperti model baharu yang dijangka dilancarkan pada 2026, dua model lain itu juga akan menjadi SUV.
Walaupun fokus kepada EV, Toyota dan Subaru tetap komited kepada enjin pembakaran dalaman (ICE). Beberapa bulan lalu, kedua-dua syarikat, bersama Mazda, mengumumkan pembangunan enjin ICE baharu yang lebih efisien dalam satu persidangan bersama.
Peminat EV boleh menjangkakan pendedahan rasmi tentang model baharu ini pada separuh kedua tahun depan, sebelum pengeluarannya bermula pada awal 2026.
- BACA: KATRIJ HIDROGEN TOYOTA MUNGKIN BATERI MASA HADAPAN – INI BARU TEKNOLOGI
- BACA: BYD LANTIK SIME DARBY AUTO IMPORTS SEBAGAI PENGIMPORT, BYD MALAYSIA PENGEDAR DENZA
- BACA: VCM ANJUR ACARA VOLVO EXECUTIVE CAR SALES – HARGA JUALAN BERMULA RM165K
- BACA: YOUTUBER TERLIBAT KEMALANGAN KETIKA ‘LIVESTREAM’, MCLAREN 570S ‘TOTAL LOSS’