Buletin

BYD LANTIK SIME DARBY AUTO IMPORTS SEBAGAI PENGIMPORT, BYD MALAYSIA PENGEDAR DENZA

BYD Auto Industry Co., Ltd telah melantik Sime Darby Auto Imports Sdn Bhd sebagai pengimport rasmi dan BYD Malaysia sebagai pengedar rasmi bagi sub-jenama premium BYD, iaitu Denza untuk pasaran Malaysia.

Perlantikan ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh kerjasama antara BYD dan Sime Darby, memperluaskan lagi kehadiran kumpulan Sime Darby sebagai pengimport rasmi kenderaan elektrik (EV).

Denza, yang merupakan sub-jenama mewah BYD, akan membuka lembaran baharu dalam pasaran EV Malaysia dengan menawarkan teknologi canggih, ciri-ciri premium serta pengalaman pemanduan lebih unggul.

Melalui Denza, BYD bercadang untuk menyediakan pilihan EV yang lebih berinovasi dan premium kepada rakyat Malaysia.

Pengurus Besar Bahagian Jualan Automotif Asia-Pasifik di BYD, Encik Liu Xueliang, berkata, “Kami teruja untuk bekerjasama dengan Sime Darby Auto Imports dalam membawa Denza ke pasaran Malaysia.”

“Ini adalah pencapaian penting bagi BYD dalam usaha kami untuk memperluaskan penawaran kenderaan elektrik di Asia Tenggara. Dengan Denza, kami percaya pengalaman EV premium di Malaysia akan ditakrifkan semula dan menetapkan piawaian baharu untuk pemandu tempatan.”

Pengarah Urusan Assembly and Strategic Businesses di Sime Darby Motors, Encik Dennis Ho, menambah, “Penandatanganan ini merupakan satu pencapaian besar bagi kami dalam membentuk kerjasama baharu dengan BYD Auto Industry dan BYD Malaysia.

“Kami yakin pengenalan Denza akan membantu memacu pertumbuhan EV di Malaysia sambil memperluaskan portfolio EV Sime Darby,” tambahnya.

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Encik Eagle Zhao, turut menekankan komitmen jenama itu untuk meningkatkan landskap EV Malaysia.

Dengan majlis menandatangani perjanjian ini, BYD dan Sime Darby Motors akan bekerjasama untuk memperkukuh kehadiran Denza di Malaysia serta menyumbang kepada pertumbuhan pasaran EV tempatan.

Google ads
Back to top button