Buletin

TOYOTA DEDAH FOTO RUANG KABIN C-HR

Sedia maklum bahawa Toyota C-HR merupakan senjata terbaharu Toyota untuk bersaing dalam segmen crossover/SUV di peringkat antarabangsa.

Toyota-C-HR-cabin-2016-mekanika (5)

Selepas membuatkan ramai tidak sabar menunggu kemunculannya dengan rekaan luaran yang begitu menarik dan futuristik, Toyota sekali lagi menarik perhatian ramai. Kali ini dengan mendedahkan foto ruang kabin C-HR.

Seperti dijangka, ruang kabin model konsep yang pernah dipamerkan di acara Paris Motor Show 2014 dan Frankfurt Motor Show 2015 tampil moden.

Toyota-C-HR-cabin-2016-mekanika (2)

Gayaan dalaman C-HR mengetengahkan konsep ‘Sensual Tech’. Ia menggabungkan kefungsian berteknologi tinggi dengan gaya yang sensual. Ambien kabin yang luas dan mewah direka menerusi lapisan instrumen yang bersambung dari kemasan pintu hinggalah ke papan pemuka.

Rekaan ini jelas berorientasikan kepada pemandu. Semua butang kawalan, skrin sentuh bersaiz lapan inci menawarkan Human Machine Interface (HMI) yang telah direka semula dan dipertingkatkan.

Toyota-C-HR-cabin-2016-mekanika (3)

Rekaan konsol tengah yang tidak simetri membuatkan semua butang kawalan mudah dicapai oleh pemandu. Pada masa sama membenarkan penumpang hadapan mengakses butang kawalan yang relevan dengan mereka.

“Menerusi sokongan daripada pasukan kejuruteraan, kami menilai semua perincian visual dan mencabar standard untuk menghasilkan rekaan dalaman yang harmoni. Kami percaya ini merupakan rekaan dalaman yang terbaik untuk Toyota setakat ini,” kata Jurutera Kanan Pasukan SQ (sensory quality) Eropah, Mehmet Fatih Kale.

Toyota-C-HR-cabin-2016-mekanika (8)

Pra-jualan C-HR dikatakan bakal bermula di pasaran Eropah pada September depan dengan penghantaran pertama dibuat sebelum akhir tahun. Di pasaran tersebut, C-HR diposisikan di antara model Auris TS dan RAV4.

Toyota mensasarkan untuk menjual lebih 100,000 unit C-HR setahun di Eropah.

Google ads
Back to top button