Artikel Pilihan

TOYOTA AKAN TERUS HASILKAN KERETA SPORTS – INI YANG KITA MAHU

Satu ketika dahulu zaman abah-abah kita sebut je nama Toyota dah terbayang kereta-kereta orang tua macam Corolla, Corona dan Hailak besi tokey-tokey balak. Siapa sangka Toyota kini bakal muncul sebagai pengeluar kereta sports dan bakal menjadi benteng terakhir produksi model-model sports.

Ketika pengeluar kenderaan lain berebut-rebut berhijrah ke alam elektrik, Toyota pula mengeluarkan model-model sports yang menjadi sebutan ramai. Kini mereka mempunyai GR Yaris, GR Corolla, GR 86 dan GR Supra dalam koleksi mereka. Khabarnya dua lagi model ikonik bakal menyertai kem Gazoo Racing. Celica baharu memang disahkan akan kembali dan terbaru dikatakan MR2 turut akan diproduksikan kembali.

Kenyataan ini disokong oleh seorang eksekutif kanan Toyota dari Australia, Sean Hanley yang menyatakan kereta-kereta sport ini akan kekal untuk jangka masa yang panjang. Malah tambah beliau lagi enjin ICE dan sistem transmisi manual akan terus kekal wujud.

Walaupun banyak syarikat besar lain bergerak ke arah elektrifikasi, peminat-peminat kereta sebenar masih mahukan gegaran dan letupan yang hanya boleh dihasilkan oleh enjin ICE.

Toyota sendiri mahu Gazoo Racing menjadi pusat sehenti untuk peminat kereta-kereta sports dan berprestasi tinggi. Malah GR kini sedang membangunkan bahan api sintetik untuk memanjangkan hayat ICE.

Kereta sports elektrik turut menjadi fokus mereka. Buktinya ialah FT-Se Concept yang menggunakan motor berkembar dan sistem pacuan semua roda.

Google ads
Back to top button