
TOYOTA GR SUPRA BAKAL GUNA ENJIN 2.0 TURBO!
Berbeza semasa pelancaran setahun lalu, penerimaan Supra pada hari ini semakin positif. Sekadar melihat gambar tidak memberi keadilan kepada Supra kerana ia lebih menarik dipandang di depan mata.
Menyemarakkan lagi tawaran kereta sport itu, Toyota bakal menawarkan GR Supra dengan enjin 2.0 liter turbo ke pasaran global. Tawaran terbaru itu adalah tambahan kepada enjin 3.0 liter turbo sedia.
Supra 2.0L sebenarnya telah pun mula dijual di Jepun pada tahun lalu melalui dua varian iaitu SZ dan SZ-R dengan harga lebih mampu milik.
Dengan enjin yang lebih kecil, Toyota percaya ia akan meningkatkan lagi jangkauan pembeli untuk model ikonik ini.
Tawaran terbaru ini bagaimanapun tidak berkisar tentang harga lebih rendah sahaja.
Supra 2.0L 100kg lebih ringan daripada Supra 3.0L seterusnya memperbaiki tahap inersia dan keseimbangan casis untuk pengendalian lebih tajam.
Toyota Supra ini dilengkapi enjin 2.0L empat silinder dengan turbo tunggal twin-scroll yang dipadankan bersama transmisi lapan kelajuan automatik ZF.
Enjin itu mempunyai output 255 hp dan tork 400 Nm. Pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.2 saat dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j.
Saiz enjin yang kompak juga membolehkan ia dipasang hampir kepada bahagian tengah kereta seterusnya keseimbangan berat ideal 50:50 dapat dicapai di antara depan dan belakang.
Varian aras mula GR Supra 2.0 ditawarkan dalam spesifikasi Live. Ia dilengkapi roda aloi 18 inci, sistem audio dengan empat pembesar suara, skrin 8.8 inci dan kerusi sport balutan Alcantara hitam.
Turut dilengkapi ialah teknologi keselamatan seperti Pre-Crash Safety with Braking Function, Pedestrian and Cyclist detection with Braking Function, Lane Keep Assist [LKA] with Active Steering, Road Sign Assist dan Intelligent Speed Assist.
Pembeli juga ditawarkan pakej Connect pack yang dilengkapi sistem navigasi dengan sambungan khidmat dalam talian.
Sport pack pula dilengkapi active differential, suspensi variabel adaptif, dan brek berkualiti sport untuk pemanduan lebih meyakinkan.
Premium pack lebih premium dengan 12 pembesar suara premium JBL, paparan head-up, pengecas telefon pintar tanpa wayar, kerusi balutan kulit hitam dan kerusi larasan berkuasa dengan tetapan memori.
Sempena pelancaran pada Mac 2020, Toyota akan menawarkan edisi eksklusif GR Supra 2.0 Fuji Speedway dengan hanya 200 unit sahaja untuk pasaran Eropah.
Varian ini dibezakan dengan warna putih metalik, roda aloi 19 inci berwarna hitam kusam dan cermin sisi berwarna merah.
Pada bahagian dalam, papan pemuka diriasi gentian karbon dan balutan Alcantara berwarna hitam dan merah.
Skema warna itu adalah bayangan kepada grafik rasmi TOYOTA GAZOO Racing.
Di Eropah, Supra 3.0L menerima sambutan hangat dengan jualan mencecah 1,150 unit setakat penghujung 2019.
Jumlah tersebut adalah tinggi memandangkan tempahan dibuka pada Mac dengan penyerahan dibuat pada Mei 2019.
BACA: TOYOTA SIENTA JDM ADA SONAR ELAK KEMALANGAN DI RUANG PARKIR
BACA: TOYOTA IS KING! HILUX NO. 1 DI AUSTRALIA 4 TAHUN BERTURUT-TURUT
BACA: TOYOTA GR SUPRA HYPERBOOST EDITION, KUASA LEBIH 750HP!