Buletin

TOYOTA C-HR FACELIFT, LUARAN RINGKAS KEKAL MENAWAN

Sewaktu mula diperkenalkan pada tahun 2016, Toyota C-HR berjaya menggamit mata ramai dek kerana reka bentuknya yang ekspresif dan lari dari kebiasaan.

Gambar C-HR begitu banyak dikongsi di media sosial dan ramai yang mengidamkannya. Idaman ramai tersebut kemudian disempurnakan apabila C-HR dilancarkan di pasaran tempatan pada Mac 2018.

C-HR bukan sahaja ekspresif malah berada di dalam segmen SUV kecil premium pada harga RM145,500 semasa dilancarkan. Harga terbaru untuk model yang dikemaskini pada tahun 2019 pula ialah RM150,000.

Harga model yang diimport dari Thailand itu jauh meninggalkan pesaing lain seperti Honda HR-V dan Mazda CX-3.

Di Eropah Toyota telah pun melancarkan C-HR baharu dengan perubahan pada enjin, luaran dan sistem multimedia.

C-HR pasaran Eropah kini didatangkan dengan enjin 2.0l Hybrid Dynamic Force berkuasa 184hp. Enjin tersebut adalah tambahan kepada 1.8l Hybrid Dynamic Force sedia ada yang berkuasa 122hp.

Bahagian luaran hanya menerima perubahan minimum tetapi berjaya menaikkan seri C-HR seiring dengan peredaran masa. Perubahan yang dibuat ialah pada corak bampar depan yang kini dengan ‘taring’ baharu.

Lampu depan dan belakang dinaiktaraf kepada jenis LED dengan lampu nyalaan siang (DRL) dan isyarat disatukan sebaris pada bahagian atas.

Pada bahagian belakang, spoiler berwarna hitam kilat disatukan dengan lampu kiri dan kanan yang kini dengan corak baharu. Secara keseluruhan bahagian belakang C-HR nampak lebih kemas tanpa garisan-garisan sibuk.

Sistem multimedia pula kini dilengkapi dengan integrasi telefon pintar bagi menggunakan Apple CarPlay™ dan Android Auto™.

Selain enjin baharu, Toyota turut membuat talaan baharu pada sistem stereng berkuasa elektronik (EPS) untuk rasa yang lebih baik.

Model 2.0l hibrid lebih ekstra dengan reka bentuk suspensi baharu dalam memperbaharui tahap keselesaan pemanduan C-HR yang sudah sedia cemerlang.

Selain perubahan di atas, kesemua varian C-HR didatangkan dengan pakej NVH yang diperbaiki untuk mengurangkan bunyi di dalam kabin.

Di pasaran tempatan, UMW Toyota baru sahaja melancarkan versi naik taraf pada Januari lalu. Model facelift mungkin akan mengambil masa sebelum dilancarkan.

BACA: PANDU UJI: TOYOTA C-HR – BELI SEBAB RUPA ATAU ADA PAKEJ YANG SEMPURNA?

BACA: PADA 2002 NISSAN ELGRAND DIPERKENAL, SAINGAN TOYOTA ALPHARD

BACA: PADA 2008 TOYOTA ALPHARD DIPISAH 2, JADI VELLFIRE SAMPAI SEKARANG

Google ads
Back to top button