Buletin

TOYOTA GR YARIS DENGAN TALAAN PENUH DIBAWA KE TAS 2022!

TOYOTA GAZOO Racing bersaing di dalam acara antarabangsa seperti Kejohanan Rali Dunia FIA (WRC) dan Kejohanan Ketahanan Dunia FIA (WEC) serta rali dan perlumbaan domestik.

Aktiviti permotoran sebegitu memberi manfaat buat Toyota dari segi teknologi dan pengetahuan untuk menghasilkan kereta yang lebih baik kepada pelanggan.

Di antara model yang sudah ditawarkan ialah Toyota GR Yaris. Kereta ini dibangunkan dari dunia rali dan dihidangkan ke jalanan.

Ulasan jurnalis tentang kereta ini rata-rata memberi pujian dan dari segi fizikal GR Yaris tampak lebih gah di depan mata.

Ada buah tangan terbaru dari Toyota iaitu GR Yaris dengan talaan penuh dan ia akan dibawa ke Pameran Kenderaan Tokyo (TAS 2022)

Toyota tidak menjelaskan apa maksud talaan penuh namun selamat untuk dikatakan GR Yaris ini mempunyai kuasa lebih besar.

Turut berbeza ialah spoiler belakang yang lebih tinggi dan bukaan udara di atas bonet. GR Yaris dengan penampilan berbeza sebenarnya telah ditemui sedang diuji di Nürburgring pada September 2021.

Selain spoiler tinggi, komponen berbeza ialah bampar depan dengan canard dan fender yang mempunyai liang udara.

Untuk rekod, GR Yaris menggunakan enjin 1.6 liter turbo tiga silinder berkuasa 261 PS dan tork 360 Nm. Enjin itu dipadan bersama transmisi manual enam kelajuan iMT dengan pacuan 4WD GR-Four.

Dari segi prestasi, pecutan dari 0 km/j hingga 100 km/j memerlukan 5.5 saat dan kelajuan maksimum ialah 230 km/j.

Berapakah lagi kuasa yang dapat diperah dari enjin tiga silinder GR Yaris? Dengan spoiler tinggi model khas ini nampak benar-benar berkuasa.

Sebuah lagi model yang bakal dipamerkan ialah GR GT3 Concept. Model ini adalah kereta konsep yang dibuat khas untuk perlumbaan.

Adakah ianya Supra A90? Sukar untuk ditentukan dan kereta konsep GT3 ini mempunyai bentuk bonet yang panjang.

Jawapan untuk segala persoalan ini dapat dijawab apabila tirai TAS 2022 dibuka.

BACA: TOYOTA HILUX GR SPORT MASUK EROPAH, BUKAN SEKADAR KOSMETIK!

BACA: TOYOTA DOMINASI JUALAN TERTINGGI DI AUSTRALIA SELAMA 25 TAHUN!

BACA: TOYOTA GR SUPRA A91-CF EDITION, 600 UNIT SAHAJA UNTUK AMERIKA UTARA!

Google ads
Back to top button