
TOYOTA HILUX GR SPORT MASUK EROPAH, BUKAN SEKADAR KOSMETIK!
Di antara model Toyota yang popular ialah Hilux. Pikap ini begitu popular sehingga mendominasi jualan kenderaan di Australia.
Hilux juga di antara model yang kerap disarankan jika seseorang ingin mendapatkan sebuah pikap. Selain itu, Hilux memberikan nilai jualan yang baik walaupun sudah berusia.
Sebagai sebuah pikap popular dan berkebolehan, Hilux dipasarkan di banyak buah negara dari Asia, Afrika, Timur Tengah dan Eropah.
Walaupun Hilux dibangunkan sebagai sebuah kenderaan lasak, Toyota turut menawarkan varian sporti GR Sport di Thailand yang dilancarkan pada Ogos 2021.
Kini tiba giliran pasaran Eropah apabila Toyota Hilux GR SPORT diperkenalkan di sana pada 3 Januari 2022. Model ini hasil inspirasi penglibatan Hilux dalam perlumbaan Rali Dakar.
Enjin 2.8 liter 500 Nm
Hilux GR SPORT digerakkan enjin 2.8L diesel turbo sama seperti yang diperkenalkan pada tahun 2020. Enjin ini mempunyai kuasa 204 hp dengan tork 500 Nm dan dipadan bersama transmisi enam kelajuan automatik.
Dari segi keupaayan, model Double Cab mampu membawa berat muatan satu tan dan menunda treler sehingga 3.5 tan.
Turut dilengkapi ialah automatic limited-slip differential dan Active Traction Control.
Suspensi berbeza
Tidak hanya sekadar kosmetik, Toyota turut mengubahsuai sistem suspensi Hilux GR Sport. Ciri utama yang berbeza ialah penggunaan penyerap hentak jenis tiub tunggal dan gegelung (spring) depan baharu.
Reka bentuk tiub tunggal itu mempunyai ruang omboh yang lebih besar bagi mendapatkan prestasi redaman lebih baik dengan respon lebih pantas serta penyingkiran haba yang lebih bagus.
Unit itu juga mampu menjaga kualiti minyak di dalamnya semasa memandu di dalam keadaan lasak.
Gegelung depan pula lebih kaku atau keras dan supaya nampak menonjol, kedua-dua penyerap hentak dan gegelung diwarnakan merah.
Perubahan ini sebenarnya adalah tambahan kepada pegas daun yang ditala semula dan sesendal baharu yang diperkenalkan pada Hilux baharu sebelum ini.
Berbanding model standard, Hilux GR Sport mempunyai karakter pengendalian berbeza seperti tahap guna (steering effort) stereng, respon sudut stereng, prestasi di laluan lurus, pemanduan lebih kemas (flat ride) dan tahap olengang dan cengkaman lebih baik.
Tetapan baharu ini juga menyumbang kepada peningkatan daya redaman bagi mengawal pergerakan badan pikap.
Gaya GR Sport luar dan dalam
Sebagai sebuah model GR Sport mestilah tampil berbeza. Gril depan warna hitam mempunyai corak bentuk G dengan ejaan TOYOTA pada palang tengah selain logo GR Sport.
Peletakan logo TOYOTA itu diwarisi dari Hilux generasi keempat yang diperkenalkan pada awal 80-an. Lagi ciri wajah depan ialah bahagian keliling lampu kabus yang lebih besar.
Hilux GR Sport menggunakan roda aloi 17 inci dua warna dan dibalut dengan tayar semua permukaan (all-terrain).
Tema gelap diteruskan pada cermin sisi, pemijak tepi, over fender dan pemegang pintu kargo belakang. Dari tepi boleh nampak gaya kontra set suspensi warna merah dengan badan hitam.
Bahagian dalam pula dipasangkan kerusi sport baharu dengan balutan kulit hitam dan suede sintetik dengan riasan warna merah.
Logo GR Sport ditayangkan pada beberapa tempat seperti kerusi, alas kaki, butang penghidup dan skrin paparan maklumat.
Papan pemuka nampak ranggi dengan kemasan gentian karbon, garisan merah dan nyalaan warna biru pada panel pintu.
Pakej yang ditawarkan pada Hilux GR Sport ini memang menarik, ianya tidak dilakukan secara berlebihan dan satu perkara menonjol apabila Toyota turut ‘mengusik’ suspensi asal!
- BACA: TOYOTA GR SUPRA A91-CF EDITION, 600 UNIT SAHAJA UNTUK AMERIKA UTARA!
- BACA: TOYOTA C+pod – KECIL DARIPADA ‘KEI CAR’, PACUAN RWD!
- BACA: TOYOTA TRD DESERT CHASE TUNDRA, INI BARU PADU!