TEKNOLOGI RIDE PILOT VOLVO – PEMANDU BACA BUKU, KERETA PANDU SENDIRI!
Sekarang ini kereta yang mampu membrek sendiri sudah menjadi kebiasaan sehingga model rakyat seperti Perodua Myvi dilengkapi teknologi tersebut.
Teknologi sebegitu adalah satu dari banyak lagi fungsi pemanduan autonomi yang mana kereta mengambil alih peranan pemandu.
Di antara syarikat yang ke hadapan dalam bidang ini ialah Volvo Cars. Terbaru, syarikat dari Sweden itu memperkenalkan Ride Pilot, teknologi pemanduan autonomi tanpa selian.
Ride Pilot – Boleh beraktiviti sambil kereta pandu sendiri
Dengan teknologi Ride Pilot, pemandu boleh meluangkan masa ketika memandu dengan melakukan aktiviti seperti membaca, menulis atau setara dengannya.
Senang kata, kereta dipandu secara automatik dan pemandu boleh buat kerja lain.
Fungsi ini juga membolehkan membantu pemandu sampai ke destinasi dalam keadaan lebih tenang selepas tekanan memandu dapat dikurangkan ketika mengharungi jalan raya yang sibuk atau sesak.
Volvo merancang untuk menawarkan fungsi Ride Pilot melalui kaedah langganan pada SUV elektrik baharu yang akan dilancarkan pada tahun ini.
Perisian canggih, lebih dua dozen sensor!
Untuk model generasi baharu, kenderaan Volvo akan dilengkapi fungsi kemaskini perisian over-the-air (OTA) dan penetapan sensor yang canggih.
Perisian ini dibangunkan oleh syarikat perisian pemanduan autonomi Zenseact bersama kakitangan pembangunan Volvo dan Luminar yang merupakan salah satu daripada rakan teknologi.
Terdapat lebih dua dozen sensor yang digunakan termasuk sensor canggih Iris LiDAR dari Luminar dan digabung bersama perisian yang dibangunkan.
Sensor LiDar dari Luminar merangkumi lima radar, lapan kamera dan 16 sensor ultrasonik yang dipasangkan pada SUV baharu Volvo dengan nadi elektrik sepenuhnya.
Dah selamat baru boleh guna
Perisian dan sensor termasuk fungsi keselamatan pada sistem ini akan menjadi kelengkapan standard pada SUV baharu Volvo.
Cumanya, fungsi Ride Pilot hanya akan ditawarkan kepada pelanggan selepas selesai segala pengesahan dan ujian ketat Volvo.
Ujian tersebut termasuk pengesahan keselamatan dalam pelbagai keadaan di lebuh raya.
Satu daripada kaedah proses pengesahan ialah dengan menguji kebolehgunaan pemanduan autonomi di jalan raya Sweden bersama Zenseact dan mengumpul data di Eropah dan Amerika Syarikat.
Menjelang pertengahan tahun 2022, Volvo mahu membuat ujian di jalan raya California di mana keadaan trafik, suhu dan rangka kerja undang-undang sesuai untuk pemanduan autonomi diperkenalkan.
Selepas disahkan selamat dan menerima kelulusan, Volvo merancang untuk memperkenalkan Ride Pilot di California sebelum disusuli pasaran dan rantau lain di serata dunia.
Dengan pengenalan ini, pasti menarik untuk melihat stereng kereta berputar sendiri atau dibrek secara automatik sambil pemandu baca surat khabar!
BACA: FAIL VOLVO DICEROBOH, DATA R&D KENA CURI!
BACA: GEELY DAN VOLVO CARS TUBUHKAN AUROBAY. JADI PEMBEKAL ENJIN DI PERINGKAT GLOBAL