Buletin

TOYOTA GR86, SUBARU BRZ EDISI ULANG TAHUN KE-10 DILANCARKAN DI JEPUN

2012 merupakan tahun di mana Toyota dan juga Subaru masing-masing melancarkan model kereta sports pacuan roda belakang GT86 dan BRZ buat kali pertama.

Kini, sempena dengan 10 tahun penjualan, kedua-dua pengeluar itu melancarkan model edisi ulang tahun yang ke-10 untuk pasaran domestik.

Untuk Toyota GR86, ia ditawarkan dengan warna Flame Orange sebagai penghormatan kepada warna model GT86 yang asal, diikuti dengan penambahan logo ulang tahun pada cermin belakang, serta kemasan jahitan warna jingga di dalam ruang kabin.

Subaru BRZ edisi terhad ini juga turut mendapat kemasan yang serupa, namun ia dilayangkan dengan warna WR Blue Pearl.

Selain daripada itu, kedua-dua kereta menampilkan perumah cermin sisi hitam, lencana berwarna gelap di bahagian belakang, serta sulaman logo ulang tahun yang boleh didapati pada panel pintu sebelah pemandu.

Dari segi kuasa, Toyota GR86 dan Subaru BRZ masing-masing mengekalkan penawaran enjin boxer 2.4 liter NA yang mampu menjana kuasa 232 hp dan 250 Nm, dipadankan dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan atau automatik enam nisbah kelajuan.

Tempahan kini sudah pun dibuka sehingga 30 September, namun Subaru menjelaskan tidak kurang 200 unit akan dijual berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat.

Toyota GR86 edisi ulang tahun ini dijual pada harga bermula 3,469,000 yen (RM113,327) untuk versi manual, 3,632,000 yen (RM118,652) untuk versi automatik, sementara Subaru BRZ pula dijual pada harga sedikit murah, bermula dari 3,388,000 yen (RM110,681) untuk versi manual hingga 3,553,000 yen (RM116,071) untuk versi automatik.

Subaru BRZ 10th Anniversary Edition

Toyota GR86 10th Anniversary Edition

Google ads
Back to top button