Pandu Uji

TOYOTA GR86, PORSCHE MAMPU MILIK UNTUK SEMUA

Berbeza dengan produk Gazoo Racing yang lain, Toyota GR86 dihasilkan di kilang Subaru di Gunma. Jika anda biasa menonton siri animasi Initial D, anda akan tahu Gunma ini adalah kawasan latar belakang dalam siri animasi perlumbaan ini

Tapi tindakan Toyota memasang GR86 bersama-sama dengan Subaru BRZ bukanlah perkara biasa kerana Toyota memiliki 20% saham dalam Fuji Heavy Industries dan kedua dua kereta dibangunkan dengan menggunakan platform yang sama

Dari saiz, jarak antara roda GR86 telah bertambah sebanyak 5mm walaupun masih menggunakan platform sama dengan GT86 iaitu Subaru Global Platform. Namun ketegaran cesi telah dinaikkan sehingga 50% berbanding dengan GT86.

Rekaan luar GR86 dihasilkan dengan pelbagai unsur gabungan kereta sport seperti Porsche, Toyota 2000GT dan juga Toyota Supra. Namun gabungan unsur ini adalah sangat harmoni dari depan, belakang dan sisi menjadikan rekaan luar GR86 nampak matang dan sukar ditelan zaman

Bahagian fender depan direka dengan bonggol yang boleh dilihat tempat duduk pemandu dengan jelas, membantu pemandu memposisikan GR86 dengan jelas ketika di selekoh. Hanya ada 2 liang udara direka pada GR86, iaitu pada bahagian bampar depan dan juga pada bahagian fender sisi.

Bahagian fender, bumbung dan juga hud depan dihasilkan daripada aluminium untuk mengurangkan berat serta merendahkan lagi pusar graviti. Satu lagi elemen yang menyerlahkan sifat sporti GR86 tanpa berlebihan ialah rekaan duckbill rear spoiler, tak terlalu agresif tapi sedap mata memandang

Jika sebelum ini logo 86 dipasang pada bahagian luar GR86, kali ini logo tersebut telah dihilangkan. Angka 86 diwakili oleh diameter ekzos berkembar belakang dengan saiz 86mm. Ruang kargo belakang menawarkan sehingga 231 liter, 2 kali ganda daripada Mazda Miata.

Jika anda biasa memandu kereta sport, salah satu perkara yang bagus tetapi menjengkelkan ialah kusyen akan diletakkan rendah dan rapat ke lantai. Tapi bagi GR86, walaupun rendah rekaan kusyen adalah selesa dan tidak terasa tenggelam. Buktinya ialah forward visibility atau pandangan ke arah depan adalah luas

Kedudukan papan pemuka direndahkan bagi tujuan memudahkan pemandu melihat ke depan dan meninjau kedudukan fender serta mengagak kedudukan tayar. Malah cermin sisi juga direndahkan bagi tujuan yang sama.

Kusyen GR86 sengaja dipasang rendah rapat dengan lantai supaya kedudukan pemandu adalah rapat ke jalan, memudahkan komunikasi mekanikal dari cesi sampai ke pemandu melalui deria rasa pada peha, pinggang dan punggung

Jika dibandingkan dengan Mazda Miata, kusyen GR86 adalah jauh lebih selesa untuk perjalanan jarak jauh. Malah jarak antara roda yang panjang membantu mengurangkan pergerakan cesi. Sama seperti kereta sport moden, GR 86 diberikan sistem multimedia lengkap dengan sambungan Apple Car Play dan Android Auto tanpa wayar

Satu lagi unsur yang menarik pada GR86 ialah rekaan meter digital seperti enjin Boxer, bagi mengingatkan pemandu yang jentera ini dikuasakan oleh enjin Boxer 4 silinder, yang lebih baru dan bertenaga berbanding dengan enjin FA20

Enjin FA20 2000cc 4 silinder boxer dulu datang dengan masalah tork dip walaupun menjana 200 kuasa kuda. Tork dip ini muncul apabila RPM mencapai 3000 RPM sehingga 4800 RPM, macam enjin Campro milik Proton dulu.

Ada yang mengatakan tork dip ini direka bagi tujuan penjimatan bahan api, tapi tiada bukti kukuh untuk menyokong fakta ini. Namun isu ini menyebabkan GT86 kalah kepada Miata ND1 untuk perlumbaan 0-100km/jam walaupun kuasa Miata lebih rendah

Atas sebab inilah peminat Toyota meminta sistem turbo dipasang pada GT86. Namun GR86 diberikan enjin 2400cc yang lebih besar dengan diameter silinder yang lebih besar. Jika kita melihat pada graf enjin dan tork, kita boleh melihat enjin FA24D ini berjaya menghapuskan masalah tork dip dengan tork kekal sehingga 6500 RPM

Enjin baru ini direka dengan saiz diamter 94mm menjana 234 kuasa kuda dan 250Nm tork. Bukan Toyota tidak mahu meletakkan turbo, tetapi turbo mungkin merosakkan resipi kereta sport. Bila turbo dipasang banyak perkara perlu difikirkan bukan sekadar memasang turbo pada enjin

Enjin Boxer ini sebenarnya berada rendah di bahagian cesi dengan perongga ekzos berada di bahagian bawah. Perkara pertama yang harus difikirkan ialah lokasi pemasangan sistem turbo, jika dipasang di bahagian atas enjin masalah turbolag akan berlaku.

Tiada ruang untuk memasang turbo di bahagian bawah enjin disebabkan lokasi enjin tadi. Jurutera juga perlu memikirkan aspek dan sistem penyejukan bagi enjin ini. Enjin yang lebih berkuasa juga memerlukan brek yang lebih berkuasa, rear differential lagi besar, rear driveshaft lagi besar, brek besar lagi, tayar yang lagi besar, dan cesi perlu diperkukuhkan

Akhirnya GR86 mungkin akan jadi lagi berat daripada 1291kg, dengan agihan berat 51:49 depan belakang sukar untuk dicapai dan akhirnya merosakkan matlamat penghasilan GR 86 iaitu sebagai sebuah kereta sport yang mementingkan pengendalian dan seronok untuk dipandu

Bak kata mendiang Colin Chapman “adding power make u u faster on straight, reduce weight make u faster everywhere”.

Sama seperti Mazda Miata, GR 86 menghantar semua kuasa enjin kepada roda belakang dengan 2 pilihan transmisi samaada 6 kelajuan manual ataupun automatik. Buat masa ini kami menguji varian automatik yang membenarkan pecutan 0-100km/jam dibuat dalam masa 6.8 saat

Halaju tertinggi pula dicapai pada 216km/jam dan paling bagus ialah berupaya memberikan bacaan bahan api sekitar 15km/liter dengan menggunakan bahan api RON97. Berbeza dengan Miata, GR 86 menawarkan ruang yang lebih besar dan keselesaan yang lebih baik berbanding dengan Miata

Disebabkan penulis adalah pemandu amatur dan GR 86 adalah “tail happy”, maka penulis mengamalkan pemanduan yang defensif semasa memandu GR 86. Penukaran gear dan brek dilakukan di jalan lurus bagi mengelakkan masalah oversteer.

Jika bagi pemandu profesional, oversteer adalah sangat mengujakan bagi mereka. Dari segi kuasa, GR 86 menawarkan power to weight ratio yang sama dengan Golf GTi. Akan tetapi enjin aspirasi normal akan kalah dari segi pecutan di jalan lurus.

Namun enjin aspirasi normal juga menawarkan pemanduan yang lebih mengujakan di selekoh dengan kawalan ke atas pedal minyak lebih linear dan senang untuk proses modulasi kuasa enjin. Anda boleh menukar arah di selekoh dengan hanya mengawal pedal minyak

Pedal brek perlu ditekan dengan lebih dalam, dan anda perlu membiasakan diri dengan respon brek yang terasa sedikit longgar walaupun menggunakan 2 piston pada angkup brek depan dan 1 piston pada angkup brek belakang.

Telahan penulis ialah rekaan ini memang sengaja dibuat bagi mengelakkan pemandu amatur terbabas di selekoh jika membrek kecemasan disebabkan cesi GR 86 yang mudah oversteer

Dari segi kawalan stering, GR 86 terasa lebih lincah dan tangkas berbanding GR Corolla. Ia hanya memerlukan 1.25 pusingan untuk ke kiri atau kanan daripada garisan lurus. Keadaan ini membenarkan penulis memandu laju menuruni bukit di laluan Cameron Highland – Simpang Pulai dengan kawalan cesi yang jitu

Ia mungkin tidak menawarkan pecutan buas seperti GR Supra ataupun GR Corolla, tetapi digantikan dengan kawalan stering dan cesi yang sangat taat mendengar perintah pemandu. Jika anda mampu dan pandai, mungkin anda boleh melakukan aksi drift dengan menggunakan GR 86 dengan mudah sekali.

Pusat graviti yang rendah, stering yang lincah dan juga agihan berat 51:49 juga memberikan GR 86 yaw rate (kadar pusingan untuk mengubah arah kereta di selekoh) yang lebih baik. Tetapi dari segi rasa cengkaman mekanikal pada selekoh, GR 86 masih tidak dapat menandingi keupayaan GR Supra yang lebih melekat

Dari segi bunyi enjin, pada hemat penulis Mazda Miata menawarkan kualiti bunyi yang lebih padu dengan deruman enjin akan disalurkan terus ke dalam kabin. Bunyi enjin yang dihasilkan oleh GR 86 pula terasa agak “kurang seronok untuk diperah” berbanding Miata, GR Corolla mahupun GR Supra

Bagi unit transmisi 6 kelajuan automatik pula, ia boleh menahan gear pada kedudukan gear yang rendah jika dipandu dalam keadaan agresif. Namun jika anda menggunakan mode Sport dan mengawal sendiri penukaran gear dengan menggunakan paddle shift adalah jauh lebih memuaskan hati

Pada hemat penulis, GR 86 adalah “spiritual successor” kepada Porsche 944 iaitu sebuah kereta sport mampu milik dengan enjin 4 silinder yang boleh dipandu setiap hari. Ia mengekalkan konsep kereta sport iaitu pacuan roda belakang dengan enjin berada di bahagian depan serta agihan berat sekata di depan dan belakang

Jika anda tidak mampu membeli Porsche 911 GT RS, mungkin anda boleh mempertimbangkan Toyota GR 86 sebagai kereta sport permulaan untuk menjadi pemandu yang lebih cekap. Ia menawarkan ruang yang lebih besar dan 4 tempat duduk walaupun sempit sedikit

Mungkin unit “recond” jauh lebih murah, tetapi dengan harga RM 305,000 daripada Toyota Malaysia ia ditawarkan dengan jaminan 5 tahun tanpa had jarak perbatuan. Anda sebenarnya membayar ketenangan jiwa.

Google ads
"
"
Back to top button