Buletin

TOYOTA PRIUS 24H LE MANS CENTENNIAL GR EDITION, SERLAH SISI AGRESIF KERETA HIBRID

Kereta lumba Formula 1 (F1), Kejohanan Rali Dunia (WRC) dan Kejohanan Dunia Endurance (WEC) menggunakan teknologi hibrid.

Itulah fakta pada hari ini dan Toyota di antara jenama yang kuat memperjuangkan teknologi hibrid.

Sebagai imbasan, Prius pada tahun 2007mencatat sejarah sebagai kereta hibrid keluaran massa pertama di dunia.

Prius di pasaran sekarang berada di dalam generasi kelima dan begitu juga dengan teknologi hibrid Toyota yang memasuki generasi kelima.

Prius baharu tampil menyerlah dan dari reka bentuknya sahaja sudah cukup untuk membuatkan seseorang jatuh cinta.

Berbalik kepada perlumbaan yang menggunakan kereta hibrid, TOYOTA GAZOO Racing (TGR) mempertontonkan model konsep Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition.

Prius dengan kit badan agresif itu dibawa ke Perkampungan Pengeluar sempena seratus tahun Perlumbaan Le Mans 24 Jam di Perancis.

Pameran itu bertemakan Japan. Endless Discovery dan satu inisiatif dari Organisasi Pelancongan Kebangsaan Jepun (JNTO) dan selain TGR turut melibatkan Mazda.

Kenapa Mazda? Kerana Mazda adalah pengeluar pertama yang bertanding dengan kereta buatan Jepun 787B pada 1991 dan memenangi perlumbaan berprestij tersebut.

Bagaimana pula dengan Toyota? Toyota bukan menyibuk, Toyota pertama kali menjuarai Le Mans pada 2018 dan tidak pernah kalah sebanyak lima kali berturut-turut sehingga 2022.

Kemenangan itu disumbang oleh Toyota TS040 Hybrid dan GR010 Hybrid dan dari situ boleh dilihat mengapa jentera hibrid begitu penting buat Toyota.

Pameran di Perancis itu mengimbas kembali teknologi yang diusahakan pengeluar Jepun dari sukan permotoran termasuk Le Mans.

TGR telah menambah baik sistem hibrid di Le Mans dan perlumbaan WEC sejak 2012 lagi. Pengetahuan yang diperoleh diguna pakai pada model produksi seperti Prius.

Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition dipasang rim dan perkakasan aerodinamik yang diinspirasi dari jentera lumba GR010 Hybrid dan selain Perancis akan dipamerkan di perlumbaan di Jepun.

Kit aerodinamik terdiri daripada skirt sisi, sirip, pendakap lingkungan roda belakang, spoiler besar dan peresap belakang. Ruang roda diisi rim 18 inci dengan tayar 235/50R pada trek suspensi lebar.

Bahagian depan dipasang tukup enjin gentian karbon dan lampu tambahan ala jentera GR010 Hybrid.

TGR tidak memberikan butiran tentang rangkaian kuasa dan perancangan seterusnya untuk model konsep ini. Mungkin, GR Prius satu idea yang baik.

 

Google ads
Back to top button