TOYOTA PRIUS SRT8 1,000 HP – SIAPA KATA PRIUS TAK CUKUP GANAS?
Pameran SEMA di Amerika Syarikat memang menjadi medan pertunjukan modifikasi kereta yang pelik-pelik. Contohnya Toyota Prius ni. Prius sebagaimana yang kita semua ketahui ialah sebuah kereta hibrid dengan motor elektrik yang akan memberikan kita penjimatan bahan api dan sekaligus menjadikan dunia ini lebih bersih daripada gas ekzos yang beracun.
Rata-rata yang membelinya pun adalah golongan professional moden ataupun mereka yang peka tentang pentingnya mewariskan alam sekitar yang bersih untuk generasi akan datang. Kaki kereta ataupun kaki modifikasi memang pantang betul dengan kereta ni termasuklah abang Japar.
Prius yang dipaparkan kali ini bukan lagi Prius biasa yang boleh bergerak selembut bayu pagi. Ia merupakan Prius yang sudah diberi suntikan streoid dan mampu menjadi jentera drag terpantas pada pameran ini.
Mula-mula sekali, enjin asal bersekali dengan motor elektriknya dikeluarkan terus dan digantikan dengan enjin Hellcat V8 6.2-liter, kini kapasiti enjin sahaja sudah empat kali kapasiti enjin asal.
Tidak cukup dengan itu ia digandingkan pula dengan supercharger 4.5-liter daripada Whipple dengan sistem ekzos custom rekaan khas yang memberikan kereta ini tenaga baru yang dianggarkan melebihi 1,000 hp. Menyamai kuasa enjin Bugatti Veyron.
BACA: TOYOTA GT86 ENJIN FERRARI V8 – TOYORARI “4586” – (+VIDEO)
Menurut Nick Filippides, pengasas firma ARH yang menghasilkan Prius SRT8 ini. Enjin Hellcat V8 ini dipilih kerana ia sudah cukup berkuasa tanpa perlu melalui proses modifikasi yang rumit. Bila dipadankan dengan supercharger Whipple, ia akan menghasilkan lebih dari 1,000 hp kuasa tanpa sebarang masalah.
Enjin itu kemudiannya dipadankan dengan kotak gear Tremec Magnum enam-kelajuan. Ia juga dilaras sedikit agar dapat mengawal kuasa yang besar dari enjin Hellcat V8 Prius tersebut.
Aksesori custom lain termasuklah rim dan tayar, penyerap hentak custom, brek yang lebih berkuasa, panel aluminum khususnya untuk bahagian lantai dan kerangka casis tiub yang diluluskan oleh NHRA.
Secara keseluruhan, berat Prius ini adalah 590 kilogram lebih ringan berbanding Dodge Hellcat sebenar dan ARH yakin ia mampu memuat catatan 8 saat di lapangan drag. Ia juga bermaksud kereta “hibrid” ini akan mengalahkan banyak supercar malah hypercar lain dalam laluan lurus.
VIDEO: