
MODIFIKASI PALING GILA DI SEMA TAHUN INI – 911 GT3 DENGAN ENJIN IMPREZA STI
Anda seorang yang banyak duit dan Porsche 997 911 GT3 ni ibarat basikal senaman je bagi anda. Satu hari anda merasa bosan dan terasa ingin menukar enjin tapi enjin apa yang sesuai? Ini dia idea baru untuk anda dari pameran SEMA di Amerika Syarikat hasil ciptaan Eneos dan DevSpeed Motorsports. Ia dinamakan Porsche 911 GT3 STI. Bayangkan sebuah 911 dengan enjin Impreza STI di belakang dan kit widebody GT3R.

Projek ini bermula dengan sebuah Porsche 911 GT3 2007 yang terlibat dalam kemalangan dan dibeli secara lelong oleh pelumba drift professional dan pakar rekaan kereta, Faruk Kugay (bukan Faruk Gagak Hitam tu okey). Kereta tersebut dibeli tanpa enjin sekaligus mencetuskan idea baharu untuk pemiliknya. Enjin yang menjadi pilihan Faruk ialah EJ25 boxer yang telah diubahsuai sepenuhnya dari casis asal Subaru Impreza STI 2008.
Enjin 4-selinder 2.6 liter telah dinaiktaraf dengan pengecas turbo BorgWarner EFR 7064-C, intercooler Vibrant Vertical Flow, camshaft Brian Crower 280, injector bahan api Deatschwerks, pam bahan api Nuke Performance dan ekzos dari keluli tahan karat kustom.

Hasilnya? Boleh tahan kerana kuasa maksimanya kini melonjak ke 542 hp berbanding 402 hp pada 997 GT3 standard dengan enjin NA 3.6 liter enam-selinder. Kuasa dihantar ke gandar belakang menerusi kotak gear Subaru STI manual enam-kelajuan yang dilengkapkan pemasangannya oleh Subiworks.
Casis ditetapkan untuk mod perlumbaan dengan coilover dari BC Racing, komponen suspense dari jentera perlumbaan Porsche 911 Cup dan roll-cage gred perlumbaan dari CageKits.
Brek asal GT3 dikekalkan untuk kuasa henti cuma pad yang digunakan adalah jenis perlumbaan keluaran Hawk. Kalau dah namanya kereta lumba proses nak tukar tayar kenalah cepat jadi 911 ini dilengkapi Air Jack 90 Competition System dari Nuke Performances.

Bodykitya pula adalah hasil sentuhan VAD Design termasuklah splitter rekaan baharu, fender sisi dengan ruang udara, bumbung gentian karbon dan lampu belakang yang diambil dari 997.2 selain bumper belakang rekaan baharu yang mendedahkan sebahagian tayar. Seksi kau.
Bukan itu sahaja, wing belakang menutup enjin pun dibuang terus untuk menayangkan enjin baru yang serba menawan dan berkuasa. Akhir sekali ia dilayangkan dengan warna biru Subaru WRC dan dihiasi dengan liveri kuning bertemakan Salzburg Porsche 917. Macam mana? Tak terasa nak tukar enjin juga ke? Abang tetap setia dengan vtectec. Enjin NA terkuat di seluruh cakerawala.

