
‘HYPER-SCOOTER’ ITALJET DRAGSTER 700 TWIN DIUMUMKAN – 68HP, ‘TOP SPEED’ 190KM/J
Selepas mempersembahkan Italjet Dragster 500GP di EICMA 2022 dan seterusnya Dragster 559 Twin di EICMA 2023, Italjet bakal memperkenalkan projek terbaru di EICMA 2024 menerusi Dragster 700 Twin.

Menariknya, Italjet mengesahkan Dragster 700 Twin bukanlah model konsep sebaliknya merupakan tawaran terbaru untuk pasaran global tidak lama lagi.
Italjet juga akan membuka pra-tempahan bagi Limited Factory Edition pada 12 Julai ini. Italjet turut berkongsi beberapa imej sulung Dragster 700 Twin tersebut.
Menurut Italjet, Dragster 700 Twin dikuasakan enjin dua silinder 700cc DOHC yang dibekalkan QJMotor dan menawarkan 68hp pada 8,500rpm. Difahamkan, ‘hyper-scooter’ ini berkongsi platform sama dengan Benelli TRK702X.

Walaupun menampilkan reka bentuk skuter namun Dragster 700 Twin turut dilengkapi dengan transmisi manual 6-kelajuan dan mampu merekodkan kelajuan maksima sekitar 190km/j. Sementara itu, saiz tayar kekal dengan format standard dengan rim 15-inci depan dan belakang.
Pakej brek pula merangkumi cakera brek berkembar 270mm depan dan 230mm belakang dengan masing-masing dipadankan dengan kaliper Brembo dan ABS.

Dalam pada itu, edisi Factory akan dilengkapi dengan ekzos Akrapovic serta penyerap hentak boleh laras dari Ohlins. Fork USD depan pula dibekalkan Marzocchi.

Antara maklumat lain didedahkan termasuk berat 190kg, tangki 16L dan ketinggian tempat duduk diletakkan pada 815mm.