Buletin

TOYOTA RANGKUL KEJUARAAN PERLUMBAAN ENDURANCE 1000KM SEPANG 2022, 3 KERETA BERADA DALAM TOP 5

Toyota berjaya membalas dendam dari kegagalan tahun sebelumnya apabila berjaya merangkul kejuaraan dalam perlumbaan endurance 1000KM Sepang 2022.

Ketangkasan serta pengalaman pasangan Tengku Djan Ley dan Naquib Azlan dari pasukan Toyota Gazoo Racing Malaysia (TGRM), memastikan kejayaan itu tercapai menerusi Toyota Vios dengan spesifikasi tertinggi dalam perlumbaan endurance 1000KM iaitu kelas MTC.

Pasangan pelumba muda dari pasukan Wing Hin Motorsport, Hayden Haikal bersama Jwan Hii, yang memandu Toyota Yaris berjaya menempatkan diri di tempat kedua sementara pasangan Mitchell Cheah dan Brendan Paul Anthony dari pasukan Hi Rev Dream Chaser dengan jentera mereka, Suzuki Swift, berada di tempat ketiga.

Pasangan pelumba Boy Wong dan Dannies Ng (Wing Hin Motorsport) yang memandu Toyota Yaris, sekadar berpuas hati berada di tempat keempat setelah diikuti rapat oleh Honda City milik Lai Wee Seng dan Leon Khoo dari pasukan R Engineering HMRT.

Tiga daripada lima tempat teratas jelas menunjukkan Toyota mendominasi perlumbaan pada tahun ini. Selain itu, kejayaan individu juga menjadi sorotan dengan Tengku Djan Ley meraih gelaran juara buat kali ketiga, sementara ia adalah kejuaraan pertama untuk Naquib Azlan.

Namun nasib kurang baik untuk pasukan TGRM dalam kategori SP2 G apabila Vios SP2 G yang dipandu oleh trio pemandu kategori Rookie Vios Challenge musim kelima iaitu Nabil Azlan, Muizzudin Musyaffa dan Muhammad Hamdany sekadar berada di tempat ke-11 walaupun berjaya mencatatkan masa terpantas pada sesi kelayakan.

Untuk acara Gazoo Racing Vios Enduro Cup yang diadakan bersama perlumbaan endurance 1000KM Sepang pada tahun ini, telah dimenangi oleh pasangan anak-ayah iaitu Al Farouk dan Abdul Miqail yang baru berusia 16 tahun dari pasukan 23 Motors.

Saingan terdekat mereka adalah sebuah lagi Vios dari pasukan 23 Motors yang dipandu oleh Ady Rahimy bersama Amir Husin Mubarak.  Tempat ketiga pula diisi oleh kuartet pelumba pasukan Carroof Motorsport, Mirza Syahmi Mahzan, Aiman Haziq, Khair Nur Adi dan Khair Nur Adli.

Pasangan pelumba Al Farouk dan Abdul Miqail membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 manakala pemenang tempat kedua serta ketiga masing-masing memperoleh RM8,000 dan RM6,000.

Pemenang tempat keempat serta kelima turut menerima hadiah wang tunai sebanyak RM4,000 dan RM2,000.

Google ads
Back to top button