
TOYOTA RUSH 2018 – 105PS, PACUAN RODA BELAKANG, BERMULA RM93K
UMW Toyota Motor hari ini melancarkan generasi kedua SUV Toyota Rush ke pasaran tempatan.
Dibina khas untuk pasaran Asean, Rush didatangkan dalam dua varian iaitu S dan G. Anda boleh mendapatkan varian S pada harga bermula RM98,000 dan RM93,000 bagi varian G.
Terdapat lima pilihan warna disediakan – putih, perak metalik, kelabu gelap metalik, biru metalik dan hijau metalik. Tempahan bagi kedua-dua varian tersebut telah dibuka di semua bilik pameran pengedar sah Toyota seluruh negara bermula hari ini.
Untuk makluman, Rush sudah dijual selama 10 tahun di Malaysia, dalam tempoh itu lebih 10,000 unit menemui pemiliknya di seluruh negara.
Direka untuk menjadi praktikal serta tahan lasak, Toyota Rush sebelum ini telah diberi kemaskini untuk menepati keperluan pengguna yang sentiasa berubah.
Rush generasi kedua masih mengekalkan imej sebuah SUV urban dengan pendekatan Rugged-Active Lifestyle. Ia menggabungkan keselesaan sebuah kereta dengan keluasan ruang serta posisi kedudukan kenderaan lebih tinggi.
Enjin 1.5 liter, AT 4-kelajuan
Rush dikuasakan oleh enjin 16 injap DOHC bersesaran 1.5 liter. Enjin baharu Toyota itu mampu menjana kuasa sehingga 105PS pada 6,000rpm dan tork 136Nm pada 4,200rpm. Ia kemudian dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan bersama sistem Automatic Stop-Start.
Penggunaan bahan api kini lebih baik dan mampu mencapai 15.6 km seliter. Ini melayakkannya untuk diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV). SUV itu menggunakan sistem pacuan roda belakang untuk menawarkan cengkaman yang lebih mantap ketika mendaki dan membawa beban.
Ciri lain yang turut ditawarkan termasuklah Electric Power Steering (EPS) yang menyumbang kepada penjimatan minyak dan diameter tayar yang lebih besar dalam kelasnya. Toyota Rush memiliki kemampuan radius pusingan pada jarak 5.2 meter.
Pakej 360-T
SUV tujuh tempat duduk itu memperkenalkan 360-T, sebuah pendekatan baru Toyota yang berusaha untuk memberikan pakej terbaik buat pelanggan. 360-T adalah Trust and Technology daripada Toyota.
Ia menawarkan pakej inovasi lengkap yang direka untuk melindungi dan memberi kelebihan kepada pelanggan ketika berada di atas jalan.
360-T terdiri daripada tiga elemen. Safe-T Plus hadir dengan ciri-ciri dan sistem keselamatan terkini sebagai standard. Connectivi-T pula menawarkan teknologi terbaru dari aspek keterhubungan, hiburan dan keselamatan. Sementara Guaran-T memberi ketenangan minda sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.
Rekaan “R-BLADE”
Rekaan Toyota Rush menjadi cerminan kepada sisi dinamik yang boleh dijangka daripada model-model masa depan Toyota. Lari jauh dari bentuk konvensional yang ada pada model generasi pertama, penggayaan Rush serba baharu mempunyai imej dan garis badan yang lebih tajam, dikenali sebagai “R-BLADE”.
Ia membawa semangat seperti berikut; R merujuk kepada Toyota Rush. Manakala “blade” pula merujuk kepada unsur logam yang tajam. Warna dwi-tona yang digunakan sebagai tema juga memberikan kesan visual yang berlainan.
Imej terkini pada Toyota Rush serba baru ini juga telah ditingkatkan memberi penampilan premium yang hadir dengan pelbagai ciri nilai tambah. Sekali gus menjadikannya sebagai pilihan yang lebih berbaloi.
Susun atur tempat duduknya pula ialah 2-3-2, dengan akses masuk lebih mudah ke barisan ketiga. Kapasiti ruang kargo ialah 217 liter dan boleh ditingkatkan menjadi 514 liter dengan melipat tempat duduk belakang.
Sebagai tambahan, jika ingin membawa barangan panjang yang tidak melebihi berat 50 kg, landasan pada bahagian bumbung boleh digunakan.
Toyota AutoTag
Sistem audio DVD-AVX mempunyai skrin sentuh 6.8-inci dan boleh digunakan sebagai sambungan atau lanjutan paparan kepada telefon pintar. Ini membolehkan aplikasi tunjuk arah seperti Google Maps dan Waze dipaparkan pada skrin berkenaan.
Ciri-ciri standard lain termasuklah 13 ruang meletak minuman, Multi-Info Display, Panoramic View Monitor (PVM) untuk pandangan 360-darjah dari atas dan Digital Video Recorder (DVR).
Toyota AutoTag ada dipasang bagi memudahkan pembayaran elektronik di plaza tol. Sementara sistem Smart Entry membolehkan pengguna mengunci atau membukanya melalui sentuhan pada hendal pintu.
Toyota meletakkan faktor keselamatan sebagai keutamaan. Untuk itu, sistem keselamatan aktif telah dibangunkan bagi membantu pemandu mengelak kemalangan.
ASEAN NCAP 5 bintang
Gabungan sistem keselamatan termaju serta kejuruteraan bantuan komputer dengan rekaan keseluruhannya telah membolehkan Toyota Rush serba baru mendapat penarafan ASEAN NCAP lima-bintang (bagi kategori Perlindungan Penumpang Dewasa dan Kanak-kanak).
Ciri keselamatan aktif lain yang melengkapi model ini yang ditawarkan sebagai penawaran standard ialah Blind Spot Monitor (BSM) dengan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).
BSM membantu pemandu menjadi lebih peka dengan pengguna jalan raya lain yang berada pada titik buta dan mengurangkan risiko perlanggaran. RCTA pula akan memberi amaran kepada pemandu terhadap kenderaan lain ketika pemandu ingin mengundurkan kenderaan.
Lagi ciri baru termasuk Pre-Collision System (PCS) yang membantu mengurangkan kemalangan dalam kelajuan yang rendah dan sederhana (hanya untuk Rush 1.5S).
Sistem berkenaan menggunakan kamera stereo dan mempunyai empat ciri khusus; amaran pra-perlanggaran, brek pra-perlanggaran, Front Departure Alert serta Pedal Misoperation Control.
Ia direka sebagai sistem bantuan kepada pemandu, tetapi masih mengutamakan input daripada pemandu sendiri yang boleh mengatasi fungsinya pada bila-bila masa.
Toyota Rush serba baru didatangkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan. UMW Toyota mensasarkan jualan sebanyak 3,600 unit Rush pada tahun 2019. Sebagai persiapan terhadap permintaan yang semakin meningkat, model ini akan dipasang di kilang Perodua.
GALERI