
TOYOTA SAH AKAN BANGUNKAN 86 GENERASI KEDUA DENGAN SUBARU
Sebelum ini timbul khabar angin bahawa Toyota dan Subaru tidak bercadang untuk meneruskan kolaborasi menghasilkan model sport Toyota 86 atau Subaru BR-Z.
Bertenang semua kerana khabar terbaru menyatakan Toyota akan menghasilkan 86 generasi kedua. Perkara itu disahkan oleh Ketua Pemasaran Toyota Eropah, Matt Harrison.

Harrison menyifatkan 86 generasi terdahulu sebagai satu jenama ‘halo’ yang berjaya dan menegaskan Supra tidak akan mengambil alih tempat 86.
Dalam temubual bersama majalah Autocar Britain, Harrison memberi bayangan 86 baharu sekali lagi melibatkan kerjasama dengan Subaru. Ini bermakna, Subaru juga akan menerima BR-Z baharu.
Keputusan untuk terus menghasilkan 86 pastinya tiada kaitan dengan sasaran jualan kerana Toyota sedar kereta itu tidak akan terjual dalam jumlah yang besar.

Sebaliknya, jentera itu lebih kepada untuk membangkitkan keterujaan dan tarikan emosi terhadap jenama Toyota.
Dilancarkan pada tahun 2011, 86 menggunakan enjin flat four Boxer dan transmisi daripada Subaru.
Kerjasama di antara pengeluar kenderaan dalam menghasilkan kenderaan sebegitu tidak mengejutkan kerana pasaran kereta sports yang semakin mengecil. Sebab itu jugalah yang membuatkan Toyota menjalin kerjasama dengan BMW untuk membangunkan Supra A90 dan BMW membina Z4.

Malah, Toyota kini dilapor sedang merancang untuk membina kereta sports ketiga yang akan diposisikan di antara 86 dan Supra. Ramai yang membuat andaian bahawa ia bakal menjadi kebangkitan semula MR2.
Toyota bukan sahaja berkolaborasi untuk menghasilkan kereta sports, malah kereta massa yang lain. Terbaharu, pengeluar itu menjalin kerjasama dengan Suzuki untuk berkongsi model, produksi dan teknologi.
Sementara perjanjian dengan Mazda pula melibatkan pelaburan sebuah kilag baharu mencecah AS$1.6 bilion (RM6.7 bilion) untuk mengekuarkan Corollan serta sebuah crossover yang masih belum diumumkan buat Mazda.