
SUBARU BRZ 2019. PENINGKATAN AERODINAMIK DAN SISTEM SUSPENSI
Sejak dilancarkan tujuh tahun lepas, Subaru BRZ belum menerima apa-apa perubahan yang ketara. Agak aneh bagi sebuah kereta Jepun yang masih belum menerima gantian model penuh meskipun melepasi tarikh luput yang lazimnya berkisar pada usia lima atau selewat-lewatnya tujuh tahun bagi standard pengeluaran kereta Jepun.
Begitupun, jualan BRZ agak perlahan jika dibandingkan dengan kembarnya Toyota 86 dan khabarnya, model ini hanya akan digantikan men jelang tahun 2021.
Baru-baru ini, Subaru Jepun telah memperkenalkan pembaharuan kecil pada model keluaran 2019. Ia didatangkan dengan beberapa penyesuaian baru pada bahagian aerodinamik dan juga pengendalian.
Menurut Subaru, model ini telah dipasangkan dengan pembias angin berbentuk sisik kecil di bahagian badan belakang. Jurutera mereka juga telah mempertingkatkan penyeraphentak belakang untuk memperbaiki mutu pengendaliannya. Dalam masa yang sama, model BRZ RA-Racing dipasangkan dengan tali pinggang keselamatan yang baru dan juga bar anti oleng yang lebih besar.
Tiada pengubahsuaian di bahagian enjin. Ia masih lagi dikuasakan oleh nadi penggerak empat selinder 2.0 liter yang menghasilkan 204 kuasa kuda dan 156 paun kaki tork. Transmisinya kekal dengan pilihan manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan.
Di Jepun, SUbaru BR-Z dijual pada harga bermula ¥2,480,000 (RM91,653) untuk model asas BRZ R,, sementara model teratas STi Sport dengan transmisi automatik berharga ¥3,325,000 (RM122,882)
GALERI