Buletin

BENGANG DIHON, PENUNGGANG MOTOSIKAL PECAH CERMIN KERETA DENGAN HELMET

Tular satu video di media sosial melibatkan seorang penunggang motosikal yang bertindak memecahkan cermin sebuah kereta di Jalan Sekilau, Taman Tenaga, Cheras.

Siasatan polis mendapati seorang penunggang motosikal tidak berpuas hati kerana dihon oleh pemandu kereta selepas melihat suspek melanggar lampu isyarat merah.

Disebabkan berang dihon, penunggang motosikal tersebut bertindak memecahkan cermin dengan menggunakan topi keledar.

Perkongsian video tersebut di media sosial mendapat reaksi dari warganet yang rata-ratanya cukup kesal dengan kejadian seperti itu.

“Orang Malaysia cukup pantang dengan hon.. padahal orang hon sebab emergency/bagi peringatan/untuk mengelak dari bahaya.. sabar sikit walaupun rasa nak marah,” komen seorang pengguna Facebook.

Tidak kurang juga yang mahu penunggang motosikal tersebut diambil tindakan lebih tegas kerana tindakannya mendatangkan bahaya dan kecederaan kepada mangsa.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian akibat lelaki terbabit tidak berpuas hati kerana dihon pemandu kereta. Susulan itu, beberapa saksi sudah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan lanjut,” kata Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin dalam satu kenyataan.

Beliau turut memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan siasatan terperinci sedang dilakukan. – Utusan Malaysia

Google ads
Back to top button