
TOYOTA TAMATKAN PRODUKSI SEDAN MEWAH MARK X
Toyota Motor Corp. dilapor telah menamatkan produksi sedan mewahnya, Mark X selepas lima dekad berada dalam pasaran.
Pengeluaran sedan itu dimulakan dengan model Corona Mark II pada tahun 1968. Acara penamatkan produksi Mark X diadakan di kilang Toyota di Motomachi, wilayah Aichi di mana ia dipasang.
Mark X dilancarkan pada tahun 2004 sebagai pengganti Mark II. Sejak beberapa kebelakangan ini, jualannya merudum teruk berikutan minat pengguna yang beralih kepada SUV dan MPV. Produksi kumulatif Mark X mencecah 6.88 juta.
Sedan itu melalui zaman kegemilangannya pada tahun 1989 dengan jualan 210,000 unit, tetapi jatuh kepada 3,900 unit sahaja pada tahun 2018.
Disasarkan kepada pasaran Jepun, Mark X menggunakan enjin V6 berkuasa 253hp atau 212hp yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan automatik.
Toyota memberitahu pihaknya akan menyalurkan sumber kepada model yang mampu menarik minat pengguna.








