Buletin

TOYOTA TINGKATKAN PEGANGAN SAHAM DALAM SUBARU. PELABURAN RM3.2 BILION

Toyota Motor Corp dilapor akan meningkatkan pegangan sahamnya dalam Subaru Corp kepada 20 peratus daripada 17 peratus sekarang.

Langkah itu diambil bagi membolehkan mereka memanfaatkan skala untuk membangunkan teknologi baharu kenderaan.

Pelaburan itu hadir hanya sebulan selepas Toyota dan Suzuki Motor Corp bersetuju untuk membeli saham di antara satu sama lain.

Perkembangan ini jelas menunjukkan bahawa bagaimana pengeluar kenderaan terpaksa menguruskan kos dan meningkatkan pembangunan kereta berautonomi, kenderaan elektrik serta perkhidmatan mobiliti baharu.  

Toyota yang menghasilkan kenderaan 10 kali lebih banyak berbanding Subaru memberitahu pelaburan itu berjumlah 80 bilion yen (RM3.2 bilion) berdasarkan kepada nilai pasaran saham Subaru. Sementara Subaru akan membeli saham Toyota pada nilai yang sama.

Pengeluar kecil seperti Subaru dan Suzuki dilihat sukar untuk mengikuti perkembangan industri automotif yang pantas berkembang.

Dengan kerjasama yang semakin rapat, perkongsian rangkaian kumpulan syarikat melibatkan pembekal, vendor dan pembuat kenderaan komersial menimbulkan spekulasi bahawa pengeluar berskala kecil mungkin akan menjadi sebahagian daripadaToyota pada masa depan.

Biarpun begitu, Presiden Subaru, Tomomi Nakamura menegaskan syarikatnya akan kekal bebas buat masa sekarang.

Google ads
Back to top button