Buletin

MAZDA AKHIRNYA MENGALAH. BAKAL PERKENAL EV PERTAMA PADA TMS 2019

Kita semua tahu Mazda ialah pembuat kereta yang tidak mahu mengikut trend. Ikut kepala dia sahaja. Ketika orang sibuk buat hibrid, sel bahan api dan sebagainya, pasukan jurutera Mazda terus komited dalam menambah baik enjin pembakaran dalaman (ICE). 

Usaha itu sememangnya membuahkan hasil. Tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa enjin terbaharunya, SKYACTIV-X merupakan antara enjin ICE moden yang terbaik di dunia sekarang. 

Namun begitu, Mazda nampaknya terpaksa mengikut hala tuju industri automotif dan pengguna yang kian cenderung kepada kenderaan elektrik sepenuhnya (EV). Apatah lagi, pengeluar kereta Jepun yang lain seperti Nissan dan terbaru Honda, sudahpun menghasilkan EV masing-masing. 

Atas sebab itu, Mazda mengambil peluang untuk memperkenalkan EV untuk produksi massa pertamanya pada acara Tokyo Motor Show 2019 yang akan berlangsung bulan depan. Ia didakwa sebagai model baharu sepenuhnya dan yang ketiga dalam jentera generasi baru Mazda. 

“Dibina berdasarkan kepada falsafah berpaksikan manusia Mazda. Memanfaatkan sepenuhnya teknologi elektrik, model ini menawarkan prestasi yang dapat dinikmati oleh pemandu,” kata Mazda.

Mazda bagaimanapun tidak memberi sebarang perincian mengenai EV tersebut. 

Dengan masuk ke dalam segmen kereta elektrik, Mazda jelas membuka satu lembaran baru buatnya. Malah, ia juga dilihat seperti menarik semula apa yang menjadi prinsipnya sebelum ini. 

Mazda berpendapat walaupun EV tidak menghasilkan emisi, tetapi tenaga elektrik yang digunakan untuk membina dan menggerakkan EV adalah lebih membahayakan alam sekitar berbanding enjin SKYACTIV-X miliknya. 

Apa pun, saya yakin ramai yang tidak sabar melihat EV pertama Mazda ini.

Google ads
Back to top button