
SUBARU UCAP SELAMAT TINGGAL KEPADA ENJIN LEJEN EJ20
Subaru mengucapkan selamat tinggal kepada enjin lagendanya, EJ20 apabila memperkenalkan WRX STI Edisi Khas yang khusus untuk pasaran Jepun sahaja.
Dikenali sebagai WRX STI EJ20 Final Edition dan terhad kepada 555 unit sahaja, pembeli jentera itu akan ditentukan menerusi cabutan bertuah seperti loteri.

Bukannya kepada mereka yang mempunyai banyak duit, walaupun harganya telah dinaikkan oleh pengedar Subaru.
Pengumuman itu memberi petanda bahawa Subaru akan menggunakan enjin baru pada WRX STI generasi seterusnya.
Subaru memberitahu pesanan model yang dipasang dengan enjin empat selinder bersesaran 2.0 liter akan berakhir pada hujung tahun ini. EJ20 membuat penampilan pertama pada model Legacy pada tahun 1989 dan berada di pasaran selama lebih tiga dekad.

Enjin itu berupaya menjana kuasa mencecah 123hp. Enjin FB yang menggantikan EJ20 sudah berada di pasaran sejak tahun 2010 serta boleh didapati dalam sesaran 1.6 liter, 2.0 liter dan 2.5 liter dengan pilihan aspirasi biasa atau pengecaj turbo.
Berdasarkan kepada foto yang dikongsi, antara perincian yang diterima oleh sedan berprestasi tinggi itu ialah rim BBS berwarna emas bersaiz 19 inci seperti pada model S209 dan plak enjin “EJ20 Final Edition”.
Model itu bakal dipamerkan pada acara Tokyo Motor Show 2019 bulan depan.