Buletin

SUBARU FORESTER 2019 – SUV BAKA PERLUMBAAN

Baru-baru ini pihak Mekanika telah dijemput oleh Motor Image Malaysia Sdn Bhd untuk memandu uji Subaru Forester 2019 serba baru bermula dari Pulau Pinang dan berakhir di Bangkok Thailand melibatkan perjalanan sejauh 1156km. Subaru Forester serba baru ini merupakan model serba baru yang telah dilancarkan di Taiwan dan bagi pasaran Malaysia model ini akan dipasang di kilang Tan Chong Subaru Automotive Thailand (Limited).

Ada beberapa keistimewaan Subaru Forester 2019 yang kami ingin terangkan. Lepas baca boleh pujuk bini dan pecahkan tabung buluh ye.

1. Subaru Global Platform merupakan satu platform cesi serba baru yang diperkenalkan sejak tahun 2017 yang mula digunakan oleh Subaru Imprezza 2017. Cesi ini menggabungkan keluli berkekuatan tinggi pada cesi bagi menambah ketegaran cesi, memberi kekuatan untuk hentaman kemalangan, pengendalian yang lebih bagus serta memberikan keselesan pada penumpang.

Namun begitu, jurutera Subaru berjaya mengawal berat platform dengan menjadika ia lebih ringan, kawalan olengan cesi yang lebih bagus serta respon stering yang lebih baik. Ia menjadikan Subaru Forester ini lebih selamat dan lebih seronok dipandu di dalam segmen SUV.

2. Sebagai tradisi Subaru, sudah tentu Forester menggunakan janakuasa enjin Boxer yang dipasang secara melintang. Sesetengah pakar menggelarkan enjin ini sebagai enjin V dengan sudut 180 darjah. Keempat-empat piston bersambung dengan crankshaft yang sama namun  memiliki 2 kepala silinder yang bertentangan antara satu sama lain. Dengan susunan piston yang disusun bertentangan antara satu sama lain, gegaran yang dihasilkan oleh crankshaft dan juga pergerakan piston akan terbatal antara satu sama lain. Pergerakan harmoni yang terhasil mengurangkan gegaran dan respon yang pantas.

3. Disebabkan enjin disusun secara melintang, rekaannya kekal rendah dan boleh diletakkan rendah di ruangan enjin. Berat enjin antara bahagian kiri dan kanan kekal seimbang. Disebabkan enjin diletakkan rendah, pusat graviti enjin boleh diletakkan rendah dengan permukaan jalan menghasilkan cesi yang stabil dan lebih seronok dipandu, pengendalian yang seimbang, kekal stabil di selekoh dan apa jua keadaan permukaan jalan

Enjin yang rendah juga memberikan kelebihan dari segi rekaan. Ruang enjin boleh direka dengan lebih rendah memberikan kelebihan dari segi penglihatan terutama pada bahagian hadapan.

4. Subaru juga memperkenalkan beberapa pembaharuan baru bagi menjadikan enjin ini lebih cekap bahan api. Lejang silinder telah dipanjangkan bagi meningkatkan respon enjin pada RPM pertengahan. Sistem Active Valve Control System berkembar (dual VVT-i bagi Subaru) diperkenalkan bagi enjin FB 20 ini bagi menggalakkan penggunaan EGR. Komponen utama yang bergerak seperti piston dan rod penyambung dibuat dibuat daripada bahan yang lebih ringan memberikan Forester penggunaan bahan api yang bagus. Kesemua perubahan ini menjadikan Subaru Forester lebih cekap bahan api berbanding dengan model sebelumnya.

5. Ciri Symmetrical All Whell Drive dikekalkan sebagai DNA Subaru bagi SUV ini. Ciri ini membenarkan enjin boxer, sistem transmisi dan juga unit sistem AWD disusun secara simetri dalam satu garis lurus. Ia membenarkan agihan sekata berat Forester diagihkan secara sama rata pada semua tayar menghasilkan cengkaman tayar yang sama rata pada semua penjuru. Sistem AWD Forester pula disusun oleh jurutera supaya ia berada di tengah-tengah cesi supaya berat dan pusat graviti kereta berada di tengah kereta.

Bersama bantuan enjin yang berada rendah di lantai cesi dan berat yang sekata, ia menjadikan Subaru Forester memiliki momen inersia yang sangat rendah memberikan kelebihan pengendalian pada SUV ini ketika membrek dan mengambil selekoh. Sistem AWD ini menggunakan Active Torque Split dimana kuasa enjin dihantar pada nisbah 60% di tayar depan dan 40% di tayar belakang. Namun ia penghantaran kuasa ini tidak tetap sepanjang masa bagi membantu menjimatkan bahan api. Proses ini dibantu oleh sistem pek klac yang akan mengawal penghantaran kuasa ke tayar depan dan belakang

Sistem kawalan logik akan menerima dan menganalisis data sebelum memutuskan untuk menghantar kuasa enjin ke tayar depan ataupun belakang.

6. Ciri X-Mode pula membenarkan Forester beraksi di permukaan jalan yang lasak dan mengawal cengkaman tayar daripada tergelincir. Ia sangat berguna ketika pemanduan di jalan yang tidak berturap dan juga berbukit. Sebaik sahaja pemandu menekan butang X-Mode, sistem ini akan mengawal:

6.1 – respon pedal minyak akan berubah di mana ia akan menghantar kuasa enjin dan tork pada tayar secara beransur-ansur. Tetapan pada sistem pedal dibuat supaya tork dihantar secara berperingkat dan kekuatan tork akan ditingkatkan secara beransur-ansur.

6.2 – sistem transmisi akan menggunakan ratio yang rendah agar tork dapat digandakan sebelum dihantar ke tayar untuk membantu di laluan sukar

6.3 – Sistem AWD sepenuh masa akan diaktifkan sepenuhnya pada tayar depan dan belakang. Ia akan memberikan tayar cengkaman yang lebih baik

6.4 – Vehicle Dynamic Control memiliki ciri tambahan di mana ia akan menggunakan brek bagi mengawal kereta daripada tergelincir. Sistem brek kiri dan kanan akan dikawal lebih awal agar kestabilan kereta bertambah baik.

6.5 – Ciri Hill Decent Control akan diaktifkan ketika halaju kereta kurang 20km/j dengan sistem ECU mengawal input pedal minyak dan juga brek. Ia membantu Forester menuruni cerun dengan selamat dan stabil.

7. Subaru EyeSight merupakan ciri dan komitmen terbaru daripada Subaru dalam memastikan keselamatan pemandu dan pengguna jalan raya. Subaru telah memasang 2 unit kamera yang bertindak menerima input data 3D daripada persekitaran. Kamera ini boleh mengenalpasti kenderaan lain, pejalan kaki, penunggang basikal, jarak dan juga kelajuan mereka bergerak. Sistem ini membekalkan ciri keselamatan seperti Pre-Collision Warning, Pre-Collision Braking System, Pre-Collision Throttle Management, Reverse Automatic Braking, Adaptive Cruise Control, Amaran Pemandu Mengantuk, Active Lane Keep, Sistem Amaran Titik Buta, High Beam Assist dan juga Steering Responsive Headlight.

8. Subaru Intelligent Drive atau SI-Drive merupakan sistem pengurusan enjin yang terkini bagi membolehkan pemandu memilih mode pemanduan bergantung pada keadaan jalan dan juga mood pemandu. Bagi model Forester, ia akan dibekalkan dengan Intelligent Mode, Sport Mode dan juga Sport Sharp Mode

Dalam Intelligent Mode, SI-Drive akan mengawal pecutan enjin dan juga ratio transmisi CVT agar ia sentiasa beroperasi dalam keadaan optimum dan menjimatkan bahan api. Sport Mode pula membenarkan pecutan enjin dilakukan dengan lebih pantas dan penukaran ratio CVT dibuat dengan lebih cepat berbanding Intelligent Mode.

Untuk Sport Sharp Mode pula, respon enjin menjadi lebih kuat dan transmisi CVT akan beroperasi pada ratio rendah dengan lebih lama. Unit paddle shift yang dibekalkan membenarkan pemandu mengawal 8 ratio maya CVT untuk mengawal kereta dengan lebih baik di jalan berliku.

Hmm tak sabar nak tunggu SUbaru Forester ini dilancarkan secara rasmi.

Google ads
Back to top button