TOYOTA USA TANYA BETUL KE NAK GR YARIS NI?
Ingat lagi pasal laporan kami yang peminat Toyota di Amerika Syarikat dan Kanada buat petisyen supaya GR Yaris dijual di sana?
Untuk makluman, sehingga kini lebih 15,000 peminat sudahpun menandatangani petisyen berkenaan.
Nampaknya, Toyota kini mungkin mempertimbangkan pilihan itu apabila membuat satu hantaran di Twitter bertanyakan adakah mereka mahukan sebuah lagi hot hatch.
Dalam mesej yang berbunyi “Does the North American market need another hot hatch? Let us know what you think!” Toyota USA seakan-akan mahu melihat sejauh mana kesungguhan peminat membeli untuk jentera itu.
Pengguna Twitter tidak menunggu lama untuk menjawab “Ya!”. Salah seorang mendakwa telah membuat satu akaun Twitter khas semata-mata untuk merayu Toyota membawa masuk GR Yaris.
“Peminat kereta kecil di Amerika memang nak sangat jentera ini. Tolong bawa masuk ke sini.”
Di AS, pilihan hot hatch agak terhad iaitu Ford Fiesta ST, MINI Cooper JCW dan Fiat 500 Abarth. Memandangkan semua ini jenama Eropah, kehadiran GR Yaris pasti akan mendapat sambutan hangat.
Namun begitu, sama ada Toyota hanya sekadar mahu bertanya atau benar-benar ingin membawa masuk GR Yaris ke pasaran Uncle Sam itu masih lagi samar.
GR Yaris dipacu oleh enjin berkuasa 268hp yang dipadankan bersama kotak gear manual enam kalajuan dan pacuan semua roda. Ia mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 5.5 saat.
Memang best woi!