Buletin

NAK SANGAT TOYOTA GR YARIS, PELANGGAN DI KANADA DAN AMERIKA UTARA BUAT PETISYEN

Model homologasi khas Gazoo Racing, Toyota GR Yaris baru sahaja melakukan debut pada pada acara Tokyo Auto Salon 2020. Tetapi ia nampaknya mula mengumpul peminat yang ramai.

Keterujaan terhadap model kompak itu tidak dapat dinafikan. Malah, ada satu petisyen yang mahu Toyota menjualnya di pasaran Kanada dan Amerika Utara.

Dibangunkan oleh Gazoo Racing dan Tommi Mäkinen Racing, GR Yaris ialah sebuah kereta baharu dan bukannya hasil talaan baru ke atas Yaris lama.

Jentera itu hadir dengan chasis, sistem pacuan semua roda baharu dan dikuasakan oleh enjin tiga selinder 1.6 liter yang mampu menjana 268hp dan tork 360Nm.

Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda menerusi kotak gear manual enam kelajuan bersama limited-slip differentials Torsen pada kedua-dua gandarnya.

Gabungan rangkaian kuasa itu membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 5.5saat dengan kelajuan dihadkan kepada 230km/j.

Jentera itu hanya seberat 1,280kg, terima kasih atas penggunan material gentian karbon polimer dan aluminium.  

GR Yaris cukup menarik sehingga dikatakan mengatasi populariti model Toyota GR Supra.

“Toyota telah mengambil langkah untuk membuatkan jenama mereka semakin menarik dengan pengenalan Supra. Masalahnya, harganya tidak boleh dijangkau oleh kebanyakan orang,” kata petisyen berkenaan.

Biarpun petisyen itu sudah ditandatangani sebanyak 570 kali, ini jawapan daripada Toyota:

“Kami gembira untuk mengetahui ada peminat tegar Yaris GR dan telah menandatangani petisyen demi menunjukkan sokongan mereka. Namun, besar kemungkinan kami tidak akan membawa masuk kenderaan ini ke pasaran Amerika Syarikat,” kata jurucakap Toyota, Nancy Hubbell.

Untuk makluman, penyerahan GR Yaris kepada pembelinya di Eropah di Jepun pada separuh kedua tahun 2020.

GALERI

Google ads
"
"
Back to top button