Artikel Pilihan

PERODUA MYVI 1.5AV VS TOYOTA YARIS 1.5G. SAMA TAPI TAK SERUPA?

Perodua Myvi 1.5 AV dijual pada harga RM 58,800 mungkin kelihatan agak mahal bagi pengguna yang sedang mencari sebuah kereta pertama pada harga mampu milik. Myvi boleh dikatakan kenderaan yang sesuai bagi pemilik yang mahu menaiktaraf kenderaan dari segmen A ke segmen B.

Jika anda besarkan sedikit bajet anda, Toyota Yaris 1.5J boleh menjadi milik anda dengan harga RM 70,940 atau sekitar RM 12,000 lebih mahal daripada Myvi 1.5 AV

Dengan anggaran kadar keuntungan bank 2.7% untuk tempoh 9 tahun, anda akan membayar Myvi 1.5AV pada harga RM 614 sebulan dan RM 740 bagi Toyota Yaris 1.5J. Tapi untuk tujuan perbandingan spesifikasi, kita letakkan Toyota Yaris 1.5G yang berharga RM 84,808 untuk dibandingkan dengan Myvi 1.5 AV yang memerlukan komitmen bulanan sebanyak RM 885 sebulan

Secara kasarnya anda membayar RM 245 sebulan lebih mahal untuk sebuah kereta berjenama Toyota, enjin 1500cc dual VVTi yang menghasilkan 105 kuasa kuda, 140Nm tork, 7 beg udara, sistem Lane Departure Watch, Pre-collision System, kamera 360 darjah, lampu DRL LED, lampu depan LED serta lampu kabus LED, sambungan Android Auto/Apple Car Play, sistem amaran titik buta dengan amaran lintasan belakang, penyaman udara automatik serta cermin pandang belakang elektrokromatik

Tapi dari segi penawaran ciri moden, Myvi 1.5 AV sebenarnya tampil dengan lebih banyak ciri keselamatan PSDA yang merangkumi ASA 3.0 (sehingga 120km/j, Yaris sehingga 180km/j), enjin 102 kuasa kuda, 136Nm tork, 6 beg udara, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Lane Keep Control, sistem pemanduan adaptif, sistem amaran titik buta dengan amaran lintasan belakang, lampu DRL LED, Lampu depan LED dengan ciri Auto High Beam dan kamera undur.

Dari segi penawaran produk, Perodua Myvi 1.5 AV adalah jauh lebih canggih berbanding dengan Toyota Yaris 1.5G terutama dengan pakej PSDA. Perbandingan di atas kertas pula enjin Myvi 2NR-VE 1.5 hanya menawarkan 102 kuasa kuda dan 136Nm tork sahaja berbanding dengan 105 kuasa kuda dan 140Nm tork dari unit 2NR-FE pada Yaris. Dari segi kod, kedua dua enjin menggunakan kod yang berbeza walaupun berada dalam kumpulan 2NR

2NR-VE

Nisbah mampatan 2NR-VE adalah pada 11.5:1 serta digabungkan dengan sistem Eco-Idle bagi tujuan penjimatan bahan api maksimum. Mungkin ini sebab kod enjin berbeza dan Myvi 1.5 AV mampu menawarkan penggunaan bahan api sehingga 21.1km/liter apabila digandingkan dengan transmisi D-CVT daripada Akashi Kikai

Bagi Yaris ia dipasang dengan enjin 2NR-FE namun kod yang berbeza pada hemat penulis adalah disebabkan rekaan sambungan ke unit transmisi menggunakan CVT yang dibekalkan oleh Aisin serta menawakan ciri shiftronic 7 kelajuan. Yaris tidak menawarkan ciri Start-Stop sedikit sebanyak menjelaskan kenapa kod enjin adalah berbeza walaupun masing-masing berasal dari enjin 2NR.

2NR-FE

Dari segi platform, Myvi menggunakan platform Daihatsu Boon/Myvi generasi kedua dengan jarak antara roda dipanjangkan dari 2440mm menjadi 2500mm. Jika anda mengangkat Myvi naik ke atas jek, anda akan perasan Myvi AV dipasang dengan 1 anti roll bar dan 2 bar penstabil di bahagian belakang struktur torsion beam. Kalau dibandingkan dengan Myvi Lagi Best, Myvi AV 1.5 lagi sedap di selekoh

Platform Yaris pula menggunakan Toyota B Platform yang turut dikongsi dengan model Sienta, Prius C dan Vios. Jarak antara roda adalah 2550mm, panjang Yaris 4140mm (Myvi 3895mm), lebar 1735mm (Myvi 1730mm) dan tinggi 1475mm (Myvi 1515). Sama seperti Myvi, Yaris menggunakan suspensi McPherson pada bahagian depan dan torsion beam di bahagian bekang dengan anti roll bar.

Bagi Yaris G, ia mendapat kelebihan dengan penggunaan brek cakera di bahagian depan dan juga belakang dengan sokongan brek yang lebih meyakinkan. Namun pada masa yang sama Yaris adalah lebih berat dengan 1140kg berbanding dengan Myvi yang hanya 1025kg sahaja. Percayalah walaupun kuasa enjin Myvi lebih rendah, tapi pecutan Myvi lebih brutal dari Yaris

Disebabkan ahli keluarga penulis memiliki Yaris dan penulis baru sahaja menguji Myvi, mungkin berat Yaris ini disebabkan penggunaan bahan kedap bunyi yang lebih baik. Bunyi enjin dan CVT jarang-jarang sekali kedengaran kecuali anda rapat ke 5000 RPM selain dari bunyi tayar. Bunyi dari luar lebih mudah masuk ke dalam Myvi berbanding Yaris.

Pemanduan Yaris dengan Myvi boleh dibaratkan sebagai Dr. Jekyll dan Mr. Hyde. Enjin, transmisi, pecutan, dan pergerakan cesi dalam Yaris terasa lebih lembut menjadikannya terasa mahal. Jika ada orang yang cucuk penulis ketika memandu Yaris, penulis akan ketepi dan biarkan dia memotong. Terasa selesa sungguh bila pandu Yaris dalam halaju antara 90-100km/j. Orang lain nak laju, silalah potong. No hard feeling.

Memandu Myvi 1.5 AV pula ibarat Mr. Hyde dengan cesi ringan, talaan D-CVT lebih menyentap sedikit, pecutan lebih bertenaga menjadikan kita mudah menerima provokasi dari pemandu belakang. Pantang orang laju mesti kena kejar. Dapat tak dapat lain cerita. Tapi bunyi tayar, angin dan bunyi dari luar tidak dapat ditapis oleh kabin Myvi dengan 100% sempurna. Ergonmik pemanduan Myvi tidak sebaik Yaris

papan pemuka Vios, tapi hampir sama dengan Yaris

Tapi ia menjelaskan demografik pasaran yang berbeza antara Myvi dan Yaris. Myvi sentiasa akan dibeli oleh pembeli yang lebih muda, sukakan gajet dan teknologi seperti adaptif auto cruise dengan pecutan yang lebih bagus. Orang muda tiada masalah untuk memandu 4 5 jam walaupun ergonomik pemanduan tidak sebagus Yaris. Orang muda jarang sakit belakang dan pinggang macam Abang Beras.

Yaris pula fokus pada pembeli yang lebih berduit, lebih berusia, konvensional dan mementingkan keselesaan. Mereka memang mampu membeli sebuah kereta kompak dengan jenama Toyota pada harga RM 84,808 dan memastikannya sentiasa diservis di pusat servis Toyota yang kosnya lebih mahal berbanding dengan Perodua. Dalam aspek keselesaan, sistem penyerap hentak Yaris jauh lebih selesa dan senyap jika dibandingkan dengan Myvi

Cuma kadang kadang kita terfikir, walaupun Perodua (baca Daihatsu) berada dalam keluarga Toyota tapi pendekatan dari segi teknologi adalah jauh berbeza. Perodua Myvi pada harga RM 58,800 menawarkan lebih banyak gajet teknologi berbanding dengan Yaris yang mahal. Walaupun murah RM 26,000 Myvi AV menawarkan:

1. Driving Assist yang lebih baik termasuk adaptif auto cruise, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention dan Lane Keep Assist. Malah sistem ASA 3.0 lebih peka berbanding dengan PreCollision System yang ada pada Yaris

2. Myvi AV ada auto high beam manakala Yaris menawarkan fog lamp LED. Myvi juga menawarkan Follow Me Home dan Leaving Home Function. Lampu Myvi akan menyala jika kunci penggera ditekan pada waktu malam

3. Myvi 1.5 AV menawarkan kusyen balutan kulit dan lebih luas di bahagian belakang berbanding dengan Yaris. Tapi untuk perjalanan jarak jauh, kusyen balutan fabrik Yaris lebih selesa dengan sokongan tambahan.

Jadi penulis susah nak bagi jawapan bila orang tanya mana lagi bagus, Yaris atau Myvi? Jawapannya bergantung kepada berapa bajet bulanan anda, macam mana anda guna kereta tersebut dan gaya pemanduan anda. Kalau anda sukakan kereta kompak lincah, boleh pilih Myvi. Kalau anda suka memandu santai, aman sejahtera serta selesa boleh pilih Yaris. Tapi pastikan kena dengan bajet bulanan anda

Jangan bajet bulanan anda Axia atau Saga, tapi berkenan pada Yaris. Nak tarik loan 15 tahun tak lepas tuan tuan.

Google ads
Back to top button