Buletin

GEELY BOYUE L – RUPA MACAM CADILLAC, LEBIH BESAR DARIPADA X70, BERMULA RM78K SAHAJA DI CHINA

Geely Boyue L merupakan satu model SUV kompak terbaharu yang diposisikan di antara Geely Boyue (X70) dan Geely Xingyue L (X90). Boyue L menampilkan reka bentuk baharu yang akan digunakan pada model masa depan Geely.

Jentera itu dibina di atas platform Compact Modular Architecture (CMA) yang turut menjadi asas kepada model-model seperti Volvo XC40, Polestar 2, serta beberapa model Lynk & Co.

Dimensi 4,670mm panjang, lebar 1,900mm, tinggi 1,705 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,777mm membuatkannya jauh lebih besar berbanding Proton X70.

Ia hadir dengan reka bentuk menarik menerusi garis-garis tajam pada bahagian sisi badan dari pintu ke ke tiang-D. Geely Boyue L juga didatangkan dengan dua tona, apabila bumbung dan tiang C dan A diwarnakan hitam, dipadankan bersama bampar dan arca roda yang juga berwarna hitam.

Bahagian hadapan dipasang dengan lampu utama dan lampu nyalaan siang LED nipis yang disepadukan ke dalam gril bersaiz menjadikannya kelihatan seperti model keluaran Cadillac.

Masuk ke ruang kabin, pemandu dihidangkan dengan kluster instrumen digital. Papan pemuka pula dihuni skrin sentuh berukuran 13.2 inci yang menggunakan sistem operasi Geely Galaxy OS Air dan dikuasakan oleh cip Qualcomm 8155 yang menyokong proses kemas kini secara over-the-air (OTA).

Boyue L didakwa bakal ditawarkan dalam empat pilihan rangkaian kuasa iaitu enjin 2.0 turbo berkuasa 218hp dan 325Nm dan enjin 1.5 turbo (181hp dan tork 290Nm) yang dipadankan dengan kotak gear DCT tujuh kelajuan.

Manakala enjin hibrid 1.5 liter dan enjin 1.5 liter plug-in hybrid (PHEV) pula menggunakan kotak gear tiga kelajuan DHT.

Boyue L dilapor bakal memasuki pasaran China pada suku keempat tahun ini pada harga bermula 120,000 yuan (RM78,000).

Google ads
Back to top button