TOYOTA YARIS (XP10) – INILAH DIA KAPLA TOYOTA YARIS YANG ASALNYA KELIHATAN SANGAT COMEL
Dewasa ini ramai anak muda khususnya kaum adam cukup meminati Toyota Yaris. Ternyata semejak Toyota membuat kemunculan semula dalam FIA World Rally Championship (WRC) dengan menjadikan model Toyota Yaris generasi ketiga (XP130), secara tiba – tiba nama Yaris ini terus melonjak naik.
Sampaikan Vios versi hatcback pun sama sibuk nak pakai tag nama Yaris ini. Tak pasal pasal buat ramai yang keliru. Yang mana satu Toyota Yaris ni sebenarnya kan?
Generasi pertama Toyota Yaris atau pun turut dikenali dengan plat nama Toyota Vitz ini mula menemui pasaran bermula pada tahun 1999 sama ada dengan varian tiga atau lima pintu, Ianya mula diperkenalkan sewaktu Paris Motor Show 1998. Model subkompak yang menggantikan Toyota Starlet ini telah direka oleh Sotiris Kovos, seorang lelaki berbangsa Greek yang juga merupakan pereka bentuk kereta terkemuka. Ianya telah direka melalui studio Toyota ED2 di Eropah.
Model Toyota Yaris generasi pertama ini mungkin kelihatan agak comel dan kiut untuk dipandu. Cuma untuk varian tiga pintu, proposisi cermin belakang kelihatan sedikit pelik dan janggal. Mungkin akibat daripada asalnya memang untuk direka dengan pintu belakang.
Dan tahukah anda bahawa rekaan papan pemuka model ini sebenarnya pernah mendapat kecaman apabila paparan meter diletakkan di bahagian tengah? Ala, sama serupa Kancil kita dahulu tu.
Untuk trenkuasa, pada mulanya Toyota Yaris ini menggunakan enjin 1SZ-FE yang hanya bersesaran 1.0 liter VVT-iyang mampu menghasilkan kuasa maksimum 69 kuasa kuda dan 95 Nm. Ketika itu, opsyen kotak gear auto turut ditawarkan kepada pengguna selain daripada kotak gear manual yang merupakan ciri standard.
Untuk lebih berkuasa, enjin 1SZ-FE yang bersesaran 1.3 liter turut mula ditawarkan yang mampu menawarkan kuasa 86 kuasa kuda dan 122 Nm. Enjin yang sama ini juga sebenarnya turut digunakan oleh Daihatsu yang mana diberikan kod enjin yang baharu, K3-DE/VE.
Pada tahun 2000, varian RS turut diperkenalkan untuk menarik perhatian mereka yang mahukan penampilan lebih sporty meliputi beberapa perubahan kosmetik seperti penggunaan bampar baharu, tempat duduk racing serta penggunan rim bersaiz 15 inci. Menariknya, pilihan enjin yang lebih berkuasa 1NZ-FE 1.5 liter turut ditawarkan untuk varian RS ini. Enjin yang berkuasa ini mampu menawarkan kuasa sehingga 110 kuasa kuda 143 Nm.
Generasi pertama XP10 ini tamat pengeluarannya pada tahun 2004 (Jepun) dan 2006 secara global dan telah diganti dengan generasi kedua, XP90. Tahukah anda bahawa di negara China turut terdapat kembarnya yang diberi nama Xiali Vizi.
BACA : INI KOS SERVIS GR YARIS, MEMANG MURAH BETUL. MACAM SERVIS AXIA JERRR