
TOYOTA YARIS FMC
Toyota kembali menghangatkan pasaran hatchback segmen B apabila memperkenalkan model Yaris Full Model Change (FMC).
Untuk makluman, Yaris pernah dijual di pasaran tempatan sekitar tahun 2007. Namun, jualannya dihentikan atas sebab yang tidak dapat dipastikan.
Jika di Thailand Yaris menggunakan enjin eco bersesaran 1.2 liter, UMW Toyota pula melengkapkan Yaris dengan enjin berkapasiti 1.5 liter. Enjin sama yang digunakan pada Vios itu dipadankan dengan kotak gear automatik empat kelajuan.
Buat masa sekarang, hanya satu varian G ditawarkan. Namun, media masih belum dimaklumkan mengenai spesifikasi penuhnya. Apa yang ada cuma pilihan warna iaitu oren, kelabu, perak, putih dan merah.
Yaris ditawarkan pada harga RM101,700 seunit (di atas jalan). Sebagai perbandingan, Yaris di Indonesia (enjin 1.5 dengan transmisi manual lima kelajuan dan automatik empat kelajuan) ditawarkan pada harga bermula RM64,000 hingga RM74,000 seunit. Di pasaran Thailand, memandang Yaris ialah kereta eco, maka harganya agak rendah iaitu bermula RM48,000 hingga RM61,000 seunit.
Kalau berminat, boleh kunjungi mana-mana bilik pameran Toyota Malaysia untuk membuat tempahan. Anda juga boleh menghubungi talian percuma 1-800-8-TOYOTA (869682) atau layari laman web: www.toyota.com.my untuk maklumat lanjut.