SUZUKI BIG BIKES
Selepas sekian lama menyepi, Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. (Suzuki Assemblers Malaysia) baru-baru ini mengujakan peminat motosikal tempatan menerusi empat model berkuasa tinggi.
Dikenali sebagai Suzuki Big Bike, Suzuki Assemblers Malaysia dengan bangganya memperkenalkan model Hayabusa GSX1300RA, GSX1250FA, GSX-R1000 dan V-Strom 1000.
Harga yang ditawarkan ialah RM99,000 untuk Hayabusa, GSX1250FA (RM72,900), GSX-R1000 (RM96,900) dan V-Strom 1000 boleh anda miliki dengan RM79,999. Ia hadir bersama jaminan kilang selama dua tahun atau perbatuan sejauh 20,000 (mana-mana tiba dahulu). Harus tahu juga bahawa semua itu hanya harga jualan asas yang tidak termasuk insurans, cukai jalan, yuran pendaftaran dan lain-lain.
Walaupun ramai yang beranggapan langkah memperkenalkan jentera berprestasi tinggi oleh Suzuki agak lambat berbanding jenama Jepun lain seperti Kawasaki, Honda dan Yamaha, namun ia pasti menjadi berita gembira buat peminat tegarnya.
“Kami mengambil keputusan untuk mengetengahkan motosikal berkuasa tinggi Suzuki sekarang kerana pasaran motosikal ini mengalami pertumbuhan yang cukup memberangsangkan di Malaysia,” kata Pengarah Urusan Suzuki Assemblers Malaysia, Toru Kobayashi.
Buktinya, jika dilihat kepada pendaftaran motosikal kategori 251cc dan ke atas pada tahun 2013, jumlahnya adalah 13,912 unit, peningkatan sebanyak 50% berbanding tahun sebelumnya.
Ditanya kenapa Suzuki terus menawarkan model tertingginya dan tidak dimulakan dengan model bersesaran enjin lebih kecil, Kobayashi memberitahu pihaknya memilih empat model itu kerana mahu menaikkan semula imej Suzuki dan inilah masa yang paling tepat.
Bagi mereka yang berasakan bahawa keempat-empat model itu terlalu besar, jangan bimbang. Sebabnya, Suzuki Assemblers Malaysia dijangka memperkenalkan model bersesaran lebih kecil pada tahun ini.
“Kami akan bertindak agresif dan berhasrat menguasai lima peratus perkongsian pasaran pada tahun ini . Kami meletakkan sasaran untuk menjual sekitar 300 unit motosikal apabila model bersesaran 650cc dan 750cc diperkenalkan nanti,” tambah Kobayashi.
Bagi melicinkan operasi jualannya, Suzuki Assemblers Malaysia telah melantik 10 wakil penjual sah di seluruh negara. Ia bagi menyediakan khidmat jualan dan selepas jualan, selain memastikan bekalan alat-alat ganti tulen dan aksesori adalah mencukupi.