
TRAFIK SESAK DI PLAZA TOL, NETIZEN MINTA PIHAK BERKUASA AMBIL TINDAKAN TEGAS
Berbaki dua hari menjelang ‘total lockdown’, aliran trafik di Tol Gombak dan Tol Sungai Besi hari ini dilihat sesak teruk. Keadaan yang dirakam sekitar pukul 10 pagi tadi, menyaksikan trafik begitu sesak di kedua-dua tol menghala ke pantai timur dan selatan tanah air
Gambar aliran trafik itu tular di sebuah page di laman sosial Facebook sebentar tadi hingga mendatangkan kemarahan dan kecaman netizen.
“Nak balik kampung ler tu,” demikian komen Kamarul Afendi. “Bawak lah sekali Covid ke kampung halaman masing-masing dan sebarkan sekali di sana ya…, ” tulis Zan Haziq. “Macam ni punya perangai, 10 kali buat ‘lockdown’ pun tak jadi ape,” Ikram Kadir.
Situasi itu nyata mendapat perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Menerusi perkongsian di media sosial, beliau berkata pergerakan besar-besaran masih berlaku walaupun larangan rentas daerah dan negeri telah dikuatkuasakan.

“Ke manakah arah tujuan anda pada hujung minggu ini? “Pergerakan besar-besaran masih berlaku walaupun larangan merentas daerah dan negeri telah dikeluarkan.
“Membawa jangkitan wabak dari satu kawasan ke satu kawasan lain tidak akan membantu dalam usaha kita untuk membendung penularan jangkitan virus COVID-19,” katanya yang turut memuat naik beberapa foto serta tangkap layar kemas kini kesesakan jalan raya sekitar Lembah Klang.
Beliau mengulangi peringatan kepada rakyat Malaysia untuk kekal duduk di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting.
Noor Hisham juga merayu supaya rakyat Malaysia membantu menyelamatkan sistem kesihatan negara yang bakal lumpuh sekiranya peningkatan kes COVID-19 tidak terkawal.
“Sekiranya kami rebah, anda dan ahli keluarga anda mungkin tidak akan menerima rawatan kesihatan yang sebaiknya. Jika lebih malang, tiada lagi katil untuk anda di hospital. Apatah lagi jika anda tenat dan kritikal tetapi katil ICU (unit rawatan rapi) sudah penuh semuanya,” katanya.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai meminta kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang merentas negeri tanpa surat kebenaran termasuk mengambil peluang ‘lockdown’ untuk balik ke kampung.
Semalam, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula Selasa depan hingga 14 Jun.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan semalam berkata, menerusi ‘total lockdown’ atau perintah berkurung penuh itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). – K! ONLINE, Astro Awani