
LEBIH 800 SJR DI SELURUH NEGARA BERMULA 1 JUN
Sekatan jalan raya di seluruh negara akan ditambah daripada 600 kepada lebih 800, bermula Selasa depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata ia susulan pelaksanaan Fasa Pertama penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi (total lockdown).
Selain itu, beliau berkata, pemeriksaan mengejut juga akan dilaksanakan pasukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bersama beberapa agensi bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Pemeriksaan mengejut itu akan dilakukan di seluruh negara, termasuk di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata seramai 70,000 anggota polis dan agensi di bawah KDN akan ditugaskan di seluruh negara termasuk 15,000 anggota Jabatan Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Menurutnya kekuatan polis ditambah kepada 55,000 anggota berbanding 37,000 anggota ketika ini bagi memastikan aspek penguatkuasaan dan pematuhan SOP dapat dilaksanakan secara berkesan. – BH/Bernama