Buletin

LELAKI MAUT SELEPAS BERGADUH PASAL PARKIR KERETA

Seorang lelaki tempatan ditemukan mati selepas terbabit dalam satu pergaduhan dengan warga asing di hadapan sebuah rumah di Jalan Temiang, Seremban, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.17 malam mengenai pergaduhan di hadapan sebuah rumah di Jalan Temiang.

Polis kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki berusia 46 tahun mati di jalan raya di hadapan sebuah rumah.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian membabitkan masalah parkir kereta. Mangsa yang datang ke lokasi kejadian untuk berjumpa dengan majikannya dan meletakkan kereta di hadapan sebuah rumah. Kami difahamkan masalah parkir inisudah berlarutan sekian lama. Pemilik rumah dikatakan meletakkan tanda larangan parkir kenderaan di jalan raya,” kata Mohd Said.

Mangsa dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan berkenaan lalu membuat provokasi terhadap suspek, sebelum berlaku pertengkaran di antara mereka. Selepas pertengkaran itu, mangsa dikatakan keluar dari kawasan rumah dan rebah di jalan raya.

Polis kemudian menahan seorang lelaki Myanmar berusia 21 tahun bagi membantu siasatan. Ketika disoal siasat, suspek mengaku berlaku pertengkaran antara dia dengan mangsa yang berpunca daripada masalah parkir.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan punca kejadian dan kematian mangsa. Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Harian Metro

Google ads
Back to top button