Artikel Pilihan

DOKUMENTARI PAUL WALKER KINI SUDAH SIAP DAN BAKAL DITAYANGKAN

Penghujung November tahun ini bermakna genap 5 tahun Paul Walker terkorban dalam kemalangan kereta bersama sahabat dan rakan kongsi perniagaan beliau Roger Rodas. Rodas dikatakan hilang kawalan sewaktu memandu Porsche Carrera GT beliau dan melanggar sebatang pokok di tepi jalan. Rodas terbunuh serta merta manakala Walker terbunuh bila kereta tersebut terbakar sebelum usaha menyelamat sempat dilakukan.

Keluarga kedua mangsa telah menyaman Porsche dan melalui proses perundangan yang panjang sebelum ia berjaya diselesaikan. Ia juga merupakan penamat yang tragik kepada pelakon berbakat ini yang juga seorang peminat kereta dan seorang yang gemar melakukan kebajikan khususnya melalui pertubuhan kebajikan yang diasaskannya.

Paramount Network telah menetapkan 11 Ogos ini sebagai tarikh tayangan perdananya, kurang sebulan dari sekarang. Dokumentari ini diarahkan oleh Adrian Buitenhuis yang sebelum ini turut mengarahkan “I Am Heath Ledger” dan diterbitkan oleh Derik Murray. Dokumentari ini bakal memuatkan temubual dengan keluarga dan kawan-kawan Walker selain para pelakon yang pernah bergandingan dengan beliau seperti Tyrese Gibson dan pengarah “Fast and Furios”, Rob Cohen.

BACA: FILEM FAST & FURIOUS JADI PUNCA KERETA-KERETA SPORT JDM SEMAKIN MAHAL

Ia bukan hanya berkisar kepada kisah Walker sebagai bintang Hollywood tetapi juga sebagai bapa kepada Meadow, anak perempuan beliau dan pengasas Reach Out Worldwide yang membantu mereka yang ditimpa bencana alam di seluruh dunia. Walker bukan hanya hero dalam filem-filem Hollywood tetapi beliau juga seorang manusia yang berjiwa besar.

Dilahir dan dibesarkan di California, Walker merupakan seorang peluncur ombak dan mempunyai minat mendalam terhadap lautan dan hidupan di dalamnya. Dengan kata lain ini bukannya kisah tentang kaki kereta semata okey. Nak tahu lebih lanjut nantikan sahaja siarannya. Kalau tak ada kat televisyen pun apa susah sangat, ini kan zaman internet kelajuan tinggi.

Tags
Google ads
Back to top button