
15 TAHUN DAHULU MOTOGP ADALAH LEBIH ROMANTIK – VALENTINO ROSSI
Persaingan antara pelumba dalam perlumbaan MotoGP kini kian sengit di mana perbezaan jarak antara sebelas pelumba teratas hanyalah setengah saat. Bayangkan betapa laju semua jentera MotoGP masa kini.
Perlumbaan di Assen juga menyaksikan hampir lima belas pelumba berada dalam kelompok kedudukan teratas yang merupakan kali pertama dalam sejarah. Itu belum lagi kira 175 kali adegan memotong berlaku dan lima pelumba berbeza berjaya menjadi pendahulu dalam beberapa pusingan perlumbaan.
Seorang daripada mereka ialah Valentino Rossi, satu-satunya pelumba yang pernah berlumba dengan jentera 500 cc 2-lejang dan antara pelumba terawal yang merasa pengalaman berlumba dengan jentera 990 cc generasi pertama MotoGP.
Dan perlu diingat, Rossi juga merupakan juara dunia dengan kedua-dua jenis motosikal. Baik 2-lejang mahupun 4-lejang. Selain daripada itu terdapat juga perbezaan besar antara dahulu dengan sekarang contohnya pembekal tayar daripada jenama tunggal, enjin 1000 cc, ECU tunggal dan macam-macam lagi peraturan baru. Rossi juga merasai perbezaan perspektif berbanding pada awal kemunculan beliau sebagai pelumba khususnya tahap profesionalisme dalam MotoGP.
Itu juga bermaksud setiap usaha yang dicurahkan pada tetapan motosikal dan elektronik untuk memerah sebanyak mungkin kuasa sebaik keluar dari selekoh dan memendekkan lagi jarak brek untuk menambahkan kelajuan. Malah semua pelumba juga mencatatkan perbezaan masa yang kecil semasa ujian berbanding dengan 15 tahun dahulu, jelas Rossi.
BACA: KENAPA KAWASAKI TAK BERLUMBA DALAM MOTOGP?
Rossi turut menyatakan yang tahap profesionalisme sukan ini juga semakin meningkat kerana seluruh anggota pasukan terutama pelumba kini turut terlibat dalam pembangunan jentera. Mereka memberikan input dan cuba memahami setiap selekoh satu demi satu.
15 tahun dahulu MotoGP memang lebih romantik di mana pelumba akan menunggang jentera mereka dengan sambil melayan perasaan. Kini mereka harus berusaha lebih keras untuk menang dan adakalanya memang perasaan sudah tidak penting lagi. Ianya mungkin membosankan bagi sesetengah pelumba, sambung Rossi.
Walaupun begitu dengan perbezaan yang cukup besar, ia masih lagi antara perlumbaan yang paling menarik pada masa kini.
Tapi satu perkara yang pasti walaupun tidak memenangi kejuaraan sejak tahun 2009, peminat VR46 masih lagi memenuhi litar setiap kali Rossi turun berlumba. Memang tidak dinafikan Rossi memang antara pelumba bertuah kerana masih kekal berlumba secara kompetitif selama hampir 20 tahun!
Rossi mengakuinya kerana beliau sentiasa menerima sokongan peminat di mana sahaja beliau berlumba walaupun di luar Itali. Beliau juga pemegang rekod kemenangan kelas premier dengan 89 kemenangan. Walaupun tidak bergelar juara sejak 2009, Rossi masih muncul sebagai naib johan sebanyak 3 kali. Pada tahun ini juga The Doctor juga mengekori Marc Marquez di tempat kedua dengan perbezaan 46 mata.